Najib tidak pernah jumpa ahli lembaga pengarah SRC International


Bede Hong

Najib Razak dibicarakan dengan pertuduhan berhubung pinjaman RM4 bilion yang dikeluarkan kepada SRC International dan didakwa menerima RM42 juta pada 2014 dan 2015. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 21 Januari, 2020.

NAJIB Razak meluluskan pinjaman RM4 bilion kepada SRC International, tetapi tidak pernah bertemu ahli lembaga pengarahnya selama tujuh tahun sejak syarikat itu ditubuhkan pada 2011, mahkamah diberitahu hari ini.

Ia berlarutan sehinggalah pada hari beliau meletak jawatannya sebagai perdana menteri pada 2018.

Timbalan Pendakwa Raya V Sithambaram menyoal balas Najib mengenai pinjaman diluluskannya, yang dikatakan Najib mempercayai ahli lembaga pengarah SRC International dalam menjalankan tugas mereka.

Najib sedang dibicarakan dengan pertuduhan berhubung pinjaman RM4 bilion yang dikeluarkan kepada SRC International pada 2011 dan 2012, dengan beliau dituduh menerima RM42 juta pada 2014 dan 2015.

SRC International ditubuhkan pada Januari 2011, dan Najib meletak jawatan sebagai perdana menteri pada 10 Mei 2018, dua hari selepas Barisan Nasional kalah dalam pilihan raya umum.

Lembaga pengarah terdiri daripada bekas pengerusi Ismee Ismail; bekas ketua pegawai eksekutif Nik Faisal Ariff Kamil yang kini melarikan diri; dan Suboh Md Yassin; Che Abdullah @ Rashidi Che Omar dan bekas 1Malaysia Development Bhd Shahrol Azral Ibrahim Halmi. Kesemua mereka dilantik oleh Najib pada 1 Ogos 2011.

Najib, 66, juga memberitahu mahkamah hari ini yang ia hak mutlak Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD) untuk memaklumkan kepadanya mengenai kegiatan SRC International.

Ketika ditanya oleh Sithambaram sama ada beliau pernah meminta untuk bertemu dengan ahli lembaga pengarah SRC International, walaupun ia tidak pernah meluluskan resolusi pemegang saham, Najib berkata beliau tidak pernah melakukannya kerana mempercayai mereka

“Ada MKD (MoF Inc atau Menteri Kewangan Diperbadankan), tanggungjawab mereka untuk melaporkan jika ada masalah. Mereka mengawasi operasi SRC,” kata Najib ketika Sithambaram bertanya bagaimana beliau begitu mempercayai lembaga pengarah sedangkan ia tidak melakukan apa-apa dalam tempoh tujuh tahun.

Najib turut disoal mengapa beliau meluluskan pinjaman kedua sebanyak RM2 bilion pada Januari 2012, sedangkan beliau tidak diberikan sebarang kemas kini mengenai pelaburan pertama sebanyak RM2 bilion dalam sektor tenaga.

Beliau juga ditanya sama ada mengetahui RM1.8 bilion daripada pinjaman pertama disimpan di luar negara, kebanyakannya disimpan di bank BSI di Switzerland. – 21 Januari, 2020.

Berita penuh di sini


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen