DAKWAAN kerajaan akan menggugurkan maklumat agama pada Mykad adalah palsu, kata Kementerian Dalam Negeri hari ini.
Kenyataan itu susulan tersebarnya dakwaan berkenaan di aplikasi WhatsApp.
Menurut kementerian itu, pihaknya menerima satu klip video berserta teks pada 18 Januari yang tersebar meluas, yang mendakwa maklumat agama pada pemegang kad pengenalan akan digugurkan.
Dakwaan itu juga menyebut, ianya terpakai kepada warganegara Malaysia beragama Islam, yang memiliki kad pengenalan tertera “Islam” di bawah nama pemilik Mykad.
“Kementerian menegaskan bahawa tiada perancangan untuk mengkaji pengguguran maklumat agama pada kad pengenalan,” kata kementerian berkenaan dalam satu kenyataan hari ini.
“Rekod agama bagi warganegara adalah selaras dengan peraturan Jabatan Pendaftaran Negara, seperti pengenalan warganegara beragama Islam dengan menyatakan ‘Islam’ pada MyKad. Untuk agama lain, maklumat agama dicatatkan dalam microchip kad pengenalan.
“Maklumat agama pada Mykad bagi waragnegara beragama Islam adalah penting untuk penguatkuasaan undang-undang syariah,” tambahnya.
Menurutnya, orang ramai tidak sepatutnya menyebarkan maklumat yang tidak disahkan yang boleh mencetuskan rasa tidak senang dalam kalangan masyarakat.
Tahun lalu, Kementerian Dalam Negeri dan JPN turut berdepan berita palsu bahawa pihaknya memberikan status kewarganegaraan kepada 200,000 warga asing untuk mendapatkan sokongan mereka terhadap kerajaan Pakatan Harapan.
Dakwaan itu dibuat oleh seorang pengguna Twitter yang kemudian bertindak memadam akaunnya.
JPN turut berdepan khabar angin yang tersebar di media sosial bahawa pihaknya mengeluarkan MyKad kepada warganegara China. – 21 Januari, 2020.
Komen