Pendakwaan persoal keraguan Najib pada tandatangan dokumen SRC


Bede Hong

Bekas perdana menteri Najib Razak memohon kepada mahkamah untuk mendapatkan pakar tulisan tangan bagi mengesahkan tandatangannya pada 35 dokumen SRC International yang mana 13 daripadanya dipertikaikan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 21 Januari, 2020.

PERMOHONAN Najib Razak untuk memanggil pakar tulisan tangan bagi memberi keterangan pada perbicaraan SRC International perlu ditolak, kata pihak pendakwaan.

Dalam hujah di mahkamah hari ini, pendakwaan mempersoalkan keraguan bekas PM itu terhadap kesahihan tandatangan pada dokumen SRC.

Pada perbicaraan yang bermula pada April tahun lepas dan kini berada di peringkat pembelaan, Najib banyak berdiam diri dan tidak mendakwa tandatangannya pada dokumen SRC International diubah, kata Timbalan Pendakwaraya V Sithambaram kepada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Oleh itu, permohonan pembelaan untuk mendapatan seorang pakar tulisan tangan Australia bagi mengesahkan tandatangan Najib pada 35 dokumen adalah “pemikiran semula” dan jika dibenarkan, akan “memburukkan lagi” pendakwaan, kata Sithambaram.

“Kami mengemukakan bahawa pembelaan itu salah tafsir apabila menyatakan permohonan ini sebagai kempen berterusan untuk mencabar kesahihan tandatangan pemohon,” kata Sithambaram.

“Ini kerana isu ketulenan tandatangan pemohon hanya dimaklumkan ketika pembelaan kes. Pihak pembelaan mempunyai pendekatan yang acuh tak acuh dalam mengemukakan isu ini dan tidak tegas membantah dokumen yang dipertikaikan sepanjang pendakwaan.

“Jika lelaki yang menandatanganinya tidak pasti, apa lagi yang boleh dikatakan oleh pakar?” Kata Sithambaram, sambil menambah: “Mereka tidak mempunyai rancangan, atau mereka mengubahnya separuh jalan semasa perbicaraan.”

Peguam Najib mahu Dr Steven J. Starch memeriksa 35 dokumen SRC International, yang mana tandatangan pada 13 daripadanya dipertikaikan. Peguam bela juga mahu dapatan itu dikemukakan sebagai bukti.

Perbicaraan SRC International yang bermula 3 April tahun lalu, menyaksikan 57 saksi memberi keterangan ketika peringkat pendakwaan.

Peringkat pendakwaan bermula pada 3 Disember, selepas Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali mendapati wujud prima facie dalam kes terhadap bekas perdana menteri.

Sithambaram berhujah bahawa bantahan peguam bela terhadap dokumen yang dipertikai adalah isu teknikal kerana ia dtidak secara spesifik mendakwa tandatangan pemohon tidak tulen, dimanipulasi atau diubah. – 21 Januari, 2020.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen