Shahrir Samad mengaku tak bersalah tuduhan ubah wang haram RM1 juta


Alfian Z.M. Tahir

Shahrir Samad mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan terhadap satu pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan RM1 juta. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 21 Januari, 2020.

VETERAN Umno Shahrir Samad hari ini mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan terhadap satu pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan RM1 juta.

Shahrir didakwa mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (Amla).

Ketua Umno Johor Bahru berusia 71 tahun itu mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur Azura Alwi.

Shahrir dituduh gagal mengisytiharkan RM1 juta yang diterima daripada Najib Razak kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Beliau menerima RM1 juta melalui cek pada 28 November 2013 dan dituduh melakukan kesalahan itu di pejabat LHDN Cawangan Duta di Kuala Lumpur pada 30 April 2014.

Timbalan Pendakwa Raya Norzilati Izhani Zainal memohon mahkamah menetapkan jaminan RM500,000 berserta seorang penjamin.

Hakim Azura kemudian menetapkan RM350,00 sebagai ikat jamin dengan seorang penjamin dan 24 Februari bagi sebutan kes. Azura juga mengarahkan Shahrir menyerahkan pasport antarabangsanya kepada mahkamah.

Shahrir, abang kepada Menteri Wilayah Pesekutuan Khalid Samad, berdepan hukuman denda tidak melebihi RM5 juta atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Beliau diwakili peguam Shaharuddin Ali.

Wang RM1 juta berkaitan 1MDB itu diterimanya dari Najib yang ketika itu perdana menteri, menteri kewangan dan presiden Umno.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebelum ini berkata akan mendapatkan semula RM420 juta dari 80 pihak yang menerima wang 1MDB. 

Turut didakwa di mahkamah hari ini adalah Ahli Parlimen Pontian Ahmad Maslan yang dihadapkan dengan dua pertuduhan iaitu gagal mengisytiharkan RM2 juta yang diterima daripada Najib dan memberi penyataan palsu kepada SPRM.

Ahmad mengaku tidak bersalah dan hakim menetapkan RM500,000 sebagai ikat jamin.  – 21 Januari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen