KOREA Utara tetap berkeras dan mengancam untuk meningkatkan keupayaan senjata nuklearnya sebagai amaran kepada pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump yang akan melakukan sesi lawatan ke Asia.
Lawatan pertama Trump itu diikuti bersama tekanan terhadap ancaman nuklear dan peluru berpandu jarak jauh. Beliau dijangka sampai di Korea Selatan pada Selasa, selepas lawatan ke Jepun.
Agensi berita Korea Utara KCNA berkata dalam satu komentar, AS harus bebaskan fikiran “tak masuk akal” bahawa Pyongyang akan tunduk pada sekatan antarabangsa, dan melepaskan senjata nuklearnya.
Malah Pyongyang dikatakan sedang berada “di peringkat akhir menyiapkan program nuklearnya.”
“Lupakan sahaja mimpi siang hari untuk memujuk membatalkan program nuklear kami,” kata komentar bertajuk “Stop dreaming a daydream.”
“Sistem pertahanan nuklear kami akan sentiasa diperhebatkan, kecualilah jika AS tidak mahu bermusuhan dengan DPRK,” kata komentar itu, merujuk DPRK sebagai akronim Korea Utara.
Sementara itu, White House berkata Trump akan menyeru untuk “bersama mencapai persetujuan tentang ancaman itu” dalam ucapannya di South Korea’s National Assembly nanti.
Bagaimanapun, ada kebimbangan di sisi Korea Selatan bahawa lawatan presiden itu akan menjejaskan lagi keadaan jika Trump gagal mengawal retoriknya.
Sejak berbulan lalu, Trump dan pemimpin Korea Utara Kim Jong-Un saling mengecam antara satu sama lain.
“Disebabkan kecenderungannya untuk lari dari skrip, ramai rakyat Korea bimbang dengan beliau,” kata Profesor Korea Utara, Yang Moo-Jin kepada AFP.
Dalam pada itu, seramai 500 penunjuk perasaan turun ke jalanraya di Seoul pada Sabtu dengan melaungkan slogan dan melambaikan bendera serta sepanduk dengan menuduh Trump sebagai pembawa masalah kepada semenanjung Korea sehinggakan hampir ke ambang peperangan.
“No Trump, No War,” tertulis di salah satu sepanduk, sementara ada yang memaparkan presiden AS itu dengan memakai seragam Nazi.
Tidak jauh dari kumpulan itu, seramai 100 penyokong Trump, termasuk veteran tentera melaungkan: “Selamat datang ke Korea, Kami percaya pada Trump.”
Trump yang menolak untuk berdialog dengan Pyongyang dengan alasan “membuang masa” akan bertemu dengan Presiden Moon Jae-In yang baharu sahaja memegang tampuk kuasa awal tahun ini.
Presiden baharu itu dilihat sedang cuba mengadakan pertemuan dengan Pyongyang, yang mana disifatkan trump sebagai “memujuk.”
Profesor Koh Yu-Hwan dari Universiti Dongguk, yang juga penasihat kepada kerajaan berkata, Seoul menjangka Trump akan mengelak dari meletakkan Presiden Moon dalam keadaan serba salah dengan memperketat dan memperbaharui ancamannya terhadap Korea Utara, memandangkan Korea Selatan akan menjadi penganjur Olimpik Musim Sejuk Februari depan.
Ini bermaksud, Moon harus menarik balik dasarnya dengan Korea Utara tambahan dengan ancaman terbaharu Pyongyang yang sedia keras untuk meneruskan program nuklear dan peluru berpandunya. – AFP, 4 November, 2017.
Komen