Guna 5G ajar Bahasa Inggeris, kata Dr Mahathir


Noor Azam Shairi

Pelajar menggunakan CLASSVR, peranti pembelajaran dengan aplikasi teknologi 5G ketika demonstrasi di 5GCC di Kuah, Langkawi. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 21 Januari, 2020.

PERDANA Menteri Dr Mahathir Mohamad mahu pengajaran Bahasa Inggeris ditingkatkan di sekolah dengan menggunakan kaedah baharu yang dimungkinkan oleh teknologi komunikasi khususnya rangkaian mudah alih generasi kelima atau 5G.

Pada masa sama, beliau mahu mata pelajaran sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) diajar dalam Bahasa Inggeris kerana ilmu itu berkembang dalam bahasa tersebut.

Mata pelajaran itu sekarang diajar dalam Bahasa Inggeris di lebih 1,200 sekolah yang melaksanakan program dwibahasa (DLP) yang diperkenalkan di sekolah terpilih pada 2016.

Dr Mahathir, yang memangku jawatan menteri pendidikan, berkata pengajaran Bahasa Inggeris akan diperkemaskan sejajar dengan perkembangan teknologi semasa.

“Pembelajaran Bahasa Inggeris akan diprogram, bukan seperti mereka belajar Bahasa Inggeris sekarang, macam seorang guru cuba mengajar… tidak.

“Jadi pada masa akan datang, graduan harus fasih dalam Bahasa Inggeris, faham sains, teknologi, matematik, dan kejuruteraaan, dan mereka boleh masuk ke industri baru.

“Itulah yang sedang dirancang,” kata Dr Mahathir dalam satu pertemuan di Langkawi, semalam.

Bagaimanapun Dr Mahathir mengaku idea seperti ini adakalanya sukar diterima oleh sesetengah pihak termasuk dalam kalangan guru.

“Mereka suka dengan cara lama. Sudah tentu ia membebankan mereka tetapi kaedah pengajaran sekarang tidak boleh dipakai. Kita tidak belajar apa-apa,” katanya.

Dr Mahathir juga berharap teknologi komunikasi 5G juga diharap akan dapat meningkatkan kualiti pengajaran di sekolah selain menyeragamkan kualiti guru.

“Kualiti pengajaran sangat lemah. Kalau dapat guru bagus, pelajar akan cemerlang. Kalau dapat guru tidak bagus, pelajar pun tidak baguslah. Kita perlu seragamkan.

“Kita mesti ada guru terbaik yang mengajar,” katanya.

Perdana Menteri Dr Mahathir berharap teknologi komunikasi 5G dapat meningkatkan kualiti pengajaran di sekolah selain menyeragamkan kualiti guru. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 21 Januari, 2020.

Jelas beliau, pengajaran yang diprogramkan boleh menjamin kualiti guru yang baik dan seragam.

“Guru yang terbaik menyediakan pengajaran yang terbaik. Mereka juga boleh berinteraksi dengan kelas, dengan menggunakan 5G.

“Kalau murid tersangkut, mereka boleh bertanya dan guru boleh muncul di skrin,” katanya.

Dr Mahathir pertama kali bercakap mengenai kaedah pengajaran dan pembelajaran yang diprogramkan ini selepas melawat Jepun pada September 2019.

Selepas lawatan ke sebuah sekolah di Kyoto, Dr Mahathir berkata kerajaan akan melihat kemungkinan menggunakan kaedah pembelajaran secara rakaman oleh yang terpilih, yang juga boleh dikongsi dengan sekolah lain.

Dr Mahathir pada Ahad dan Isnin melancarkan projek demonstrasi 5G dan melawat pusat kawalannya di Langkawi.

Katanya, projek demonstrasi itu telah mengenal pasti 100 kegunaan 5G yang sekarang ini digunakan secara langsung di Kuala Lumpur dan lima negeri iaitu Kedah, Perak, Selangor, Terengganu dan Pulau Pinang.

Teknologi komunikasi terbaru itu dijangka beroperasi secara komersial di Malaysia pada suku ketiga tahun ini. – 21 Januari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen