Najib mesti dibenar dapatkan pakar tulisan tangan, kata peguam bela


Bede Hong

Bekas perdana menteri Najib Razak tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur bagi menghadiri perbicaraan SRC International. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 20 Januari, 2020.

PEGUAM kepada Najib Razak mahukan pakar tulisan tangan dari Australia untuk mengesahkan tandatangan bekas perdana menteri pada dokumen SRC International dan Mahkamah Tinggi membenarkan ia untuk diterima sebagai bahan bukti.

Pasukan peguam ahli Parlimen Pekan mahu Dr Steven J Starch memeriksa 35 dokumen - 13 daripadanya dipertikaikan kesahihannya.

Peguam bela sebelum ini berpendapat beberapa dokumen, termasuk resolusi pemegang saham dan minit mesyuarat dipalsukan.

Najib sedang dibicarakan bagi pertuduhan berhubung pinjaman RM4 bilion yang dikeluarkan kepada SRC International pada 2011 dan 2012, dengan beliau dituduh menerima RM42 juta pada 2014 dan 2015.

“Kami mengatakan isu kesahihan semua dokumen ini masih belum dapat dipastikan,” kata peguam bela Harvinderjit Singh semasa penghujahan di depan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Salinan dokumen yang dipertikaikan dan beberapa sampel tandatangan disediakan kepada Starch, yang telah mengeluarkan laporan awal, mahkamah diberitahu.

Hujahan pemalsuan pihak pembela berbangkit daripada kesaksian saksi, termasuk bekas pengerusi SRC International, Ismee Ismail dan bekas pengarah Suboh Md Yassin, yang mempercayai bahawa tanda tangan itu dipalsukan.

Mengenai hujah pihak pendakwaan yang pasukan pembelaan gagal membuat sebarang bantahan semasa peringkat pendakwaan, sebelum Najib dipanggil membela diri berdiri pada 3 Desember, Harvinderjit berkata: “Beliau (Najib) tidak menyedari pada tahap itu kewujudan dokumen dengan tanda tangannya dimanipulasikan dengan ‘cut and paste’. “

Menjadi tanggungjawab pihak pendakwaan untuk membuktikan dokumen yang dipertikaikan itu tulen, kata peguam itu.

“Mereka cuba menghentikan seseorang yang dituduh daripada memberikan bukti,” katanya, sambil menambah Najib mempunyai hak Perlembagaan bagi perbicaraan yang adil sebagaimana termaktub dalam Artikel 5 Perlembagaan Persekutuan. – 20 Januari, 2020.

Berita penuh di sini


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen