Sarapan percuma bermula dengan peruntukan cukup, kata ketua pengarah


Mohd Farhan Darwis

Pelajar di 100 buah sekolah seluruh negara mendapat sarapan percuma bermula hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 20 Januari, 2020.

PROGRAM Sarapan Pagi Percuma (PSP) bermula hari ini di 100 buah sekolah dengan peruntukan yang mencukupi, kata Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia Habibah Abdul Rahim.

Dana berkenaan cukup untuk program yang mensasarkan 4,000 pelajar dari keluarga miskin, katanya sewaktu meninjau pelaksanaannya di SK Seri Suria, di ibu negara.

“Dari segi peruntukan mencukupi, kita sasarkan 100 sekolah, dalam 4,000 murid sahaja, ikut sekolah yang ada paling ramai murid miskin,” katanya kepada pemberita.

Habibah berkata pelaksanaan PSM yang merupakan penambahbaikan kepada Rancangan Makanan Tambahan (RMT) itu dibuat secara menyeluruh dan melibatkan pelbagai jenis sekolah.

Untuk PSP, murid yang layak akan diberikan makanan percuma sebelum bermula sesi pembelajaran, berbanding RMT yang diberikan pada waktu rehat.

Peruntukan Ia menyediakan 20 menu pilihan berkhasiat yang akan ditukar secara bergilir-gilir.

“Makanan yang disediakan berdasarkan cadangan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia supaya ia mengandungi nutrisi dan kalori yang sesuai dengan peringkat umur mereka.

“Bagi sekolah yang tiada kantin kita cadang disediakan oleh pihak Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), guru, ibu bapa, atau pihak luar, masih diteruskan walaupun tidak ada kantin,” katanya.

Dana mencukupi untuk program sarapan percuma di 100 buah sekolah seluruh negara, kata Ketua Pengarah Pelajaran Habibah Abdul Rahim. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 20 Januari, 2020.

Katanya, pemilihan murid yang layak juga dibuat berdasarkan garisan kemiskinan nasional.

Tinjauan The Malaysian Insight di sekolah tersebut mendapat, pelajar dibekalkan makanan dalam bekas yang ditanda dengan nama dan boleh diguna berulang kali.

Seramai 36 murid dari SK Seri Suria yang layak dijamu nasi lemak, sepotong buah, dan secawan air untuk sarapan pada pagi ini.

PSP dicadangkan bekas menteri pendidikan Maszlee Malik pada Ogos tahun lalu, untuk 2.7 juta murid mendapatkan makanan berkhasiat sebelum bermulanya sesi pembelajaran.

Namun, The Malaysian Insight melaporkan sebelum ini, akibat kekangan kewangan program itu hanya meliputi 100 sekolah sahaja.

Keseluruhan program itu dianggarkan menelan belanja RM1.67 bilion. Namun, dengan hanya melibatkan 100 sekolah, hanya RM22 juta diperlukan, yang turut melibatkan penyertaan syarikat swasta. – 20 Januari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen