Penyerang seksual bersiri Spacey, Weinstein kini terima padah


Kevin Spacey yang dianggap antara pelakon paling berbakat generasinya kini terpinggir selepas perbuatannya melakukan serangan seksual ke atas lelaki muda sejak berdekad lamanya terbongkar. – Gambar AFP, 4 November, 2017.

SEMALAM saluran Netflix memutuskan ikatan dengan Kevin Spacey, kerjaya gemilang pelakon itu kini porak peranda selepas siri dakwaan serangan seksual terhadapnya didedahkan satu demi satu.

Polis ketika ini juga sedang mengumpul bukti dan mungkin mengeluarkan waran tangkap terhadap seorang lagi penyerang seksual bersiri, Harvey Weinstein atas dakwaan rogol.

Spacey, pelakon yang dua kali memenangi anugerah Oscar dan sekian lama dianggap antara pelakon paling berbakat generasinya dan kerjasamanya dengan Netflix meletakkan saluran itu dalam peta hiburan dunia kini terpinggir daripada industri hiburan.

Dilaporkan sedang disiasat oleh polis Britain kerana menyerang seorang lelaki secara seksual di London pada 2008, dia juga dituduh cuba merogol seorang budak lelaki berusia 15 tahun di New York dan menggoda seorang budak lelaki berusia 14 tahun.

Ejen dan pegawai publisitinya sudah memutuskan ikatan dengan bintang itu, dan Netflix turut berbuat demikian mengatakan yang syarikat itu tidak akan terlibat dalam penerbitan siri drama terkenal dibintangi Spacey “House of Cards” sekiranya pelakon berusia 58 tahun itu terlibat sama. Produksi musim terakhir drama itu yang sepatutnya dijadualkan ditayangkan pada 2018 sudah ditunda.

Saluran itu turut mengatakan yang ia membatalkan tayangan filem terbaru Spacey, “Gore”.

“Netflix tidak akan terlibat dalam apa sahaja penerbitan ‘House of Cards’ di masa depan yang melibatkan Spacey,” kata jurucakap saluran itu.

Lapan orang bekas pekerja siri drama yang pernah menang anugerah itu memberitahu CNN yang Spacey mengubah suasana pembikinan drama menjadi “toksik” dengan melakukan siri gangguan seksual kepada pekerja lelaki muda.

Di London pula, polis sudah membuka kertas siasatan berkaitan dakwaan serangan seksual. Walaupun tidak disebutkan nama, media Britain mengatakan suspek ialah Spacey.

Sejak pendedahan siri serangan seksual terbongkar pada Ahad, Spacey masih tidak mengeluarkan kenyataan melainkan dia “sangat terkejut” dengan dakwaan pertama yang berlaku 31 tahun lalu yang didakwanya tidak diingati.

Pelakon Anthony Rapp membuka pintu pendedahan apabila mengatakan pelakon itu cuba “menggodanya” dan berbaring di atasnya ketika dia berusia 14 tahun di apartment lama Spacey di New York 31 tahun lalu.

Rapp yang kini berusia 48 tahun memberitahu Vulture yang dia memulakan hubungan seksual dengan Spacey ketika berusia 14 tahun dan memutuskannya pada usia 15 tahun selepas Spacey ketika itu berusia 24 tahun cuba merogolnya.

Weinstein yang dahulunya antara lelaki paling berpengaruh Hollywood dan Spacey adalah antara senarai lelaki berprofil tinggi yang didakwa melakukan siri gangguan dan serangan seksual berdekad lamanya dan kini menerima balasan. Pendedahan dunia hiburan juga mencetuskan kesan domino apabila ramai lagi lelaki berkuasa dalam bidang politik, kewangan, kewartawanan dan hiburan turut menerima padah apabila perbuatan mereka kini terbongkar.

Hampir 100 orang wanita sudah tampil sejak awal Oktober menuduh Weinstein, bapa lima anak itu, melakukan gangguan seksual termasuklah gangguan dan rogol menyebabkan polis membuka kertas siasatan di London, Los Angeles dan New York.

Pada Jumaat, polis New York mengesahkan pegawainya sedang mengumpulkan bukti untuk mengeluarkan waran tangkap berkaitan dakwaan rogol dilakukan Weinstein kepada pelakon “Boardwalk Empire” Paz de la Huerta di New York pada 2010. – AFP, 4 November, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen