Pakatan perlu elak persepsi perebutan jawatan PM, kata penganalisis


Bede Hong

Pada Disember, Dr Mahathir mengulangi ikrar serah kuasa kepada Anwar selepas Apec yang akan berlangsung di Kuala Lumpur pada November depan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 Januari, 2020.

SEBARANG usaha untuk memaksa Dr Mahathir Mohamad menyerahkan jawatan perdana menteri kepada Anwar Ibrahim hanya akan meningkatkan persepsi negatif terhadap Pakatan Harapan (PH), kata penganalisis.

Mereka berkata Anwar hanya akan dilihat berminat untuk mendapatkan kuasa jika penyokongnya cuba memaksa Dr Mahathir menyerahkan jawatan itu lebih awal.

Pada Disember, Dr Mahathir mengulangi ikrarnya untuk menyerahkan kuasa kepada Anwar selepas sidang Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (Apec) yang akan berlangsung di Kuala Lumpur pada November depan.

Minggu lalu, beberapa ahli Parlimen PKR menggesa Dr Mahathir meletak jawatan pada Mei dengan dakwaan pelabur menangguhkan pelaburan kerana mereka tidak pasti siapa yang akan mengetuai kerajaan.

“Secara jujurnya, antara Mei dan November yang dipisahkan hanya enam bulan, satu perkara sudah pasti bahawa tarikh penyerahan kuasa ini masih belum ada kepastian,” Kata Azmi Hassan, pensyarah dari Universiti Teknologi Malaysia.

“Tidak kira jika ada desakan agar Dr Mahathir menyerahkan kuasa pada Februari tahun ini, tarikh itu tidak ada bezanya jika masih wujud ketidakpastian.”

Beliau berkata pengundi menganggap kem Anwar cuba memaksa Dr Mahathir menyerahkan kuasa manakala persepsi lain pula menganggap Dr Mahathir cuba memegang jawatan itu selama termampu.

“Senario ini tidak bagus buat kerajaan kerana ia akan memberi gambaran bahawa ahli politik ini hanya berminat untuk memegang kuasa.

“Saya boleh katakan apa yang berlaku di pilihan raya kecil (PRK) Tanjung Piai dan terbaharu di Kimanis, menunjukkan kesan akibat perebutan kuasa ini.”

Pengundi akan menganggap kem Anwar cuba memaksa Dr Mahathir menyerahkan kuasa manakala persepsi lain pula menganggap Dr Mahathir cuba memegang jawatan itu selama termampu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 Januari, 2020.

Pensyarah Universiti Malaya Awang Azman Awang Pawi pula percaya Anwar perlu mengambil alih tugas perdana menteri secepat mungkin.

“Ini merupakan tempoh buat Anwar untuk membuktikan dirinya sebagai perdana menteri,” katanya.

Tambahnya Anwar perlu memegang jawatan itu pada peringkat perancangan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) yang akan bermula pada suku ketiga 2020.

“Ketiadaan Anwar dalam RMK12 akan menjadi senjata utama oleh musuh politiknya yang mahu memastikan Dr Mahathir kekal berkuasa sepanjang tempoh penggal pertama ini.”

“Anwar dan PKR tidak boleh terperangkap dalam mainan politik musuh sama ada di dalam atau luar Pakatan yang mahu melambatkan penyerahan kuasa itu.

“Isu ini tiada kaitan dengan PAS atau Umno. Pas bersyukur dengan RM400 juta yang disalurkan Putrajaya untuk membeli kereta mewah. Tidak perlu hiburkan Umno dan PAS yang tidak relevan.”

Sementara itu James Chin dari Universiti Institut Tasmania Asia percaya tiada peralihan kuasa akan berlaku pada tahun ini.

“Dr Mahathir tidak fikir Anwar boleh menjadi perdana menteri. 

“Saya percaya Dr Mahathir akan cuba kekal selagi beliau mampu. Beliau perlu membina Bersatu sama kuat seperti DAP dan PKR.

Minggu lalu, beberapa ahli Parlimen PKR menggesa Dr Mahathir meletak jawatan pada Mei dengan dakwaan pelabur menangguhkan pelaburan kerana mereka tidak pasti siapa yang akan mengetuai kerajaan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 Januari, 2020.

“Pemimpin tertinggi PH tahu masalah ini tetapi mereka takut untuk berdepan Dr Mahathir kerana beliau dengan mudah boleh membentuk pakatan baharu jika didesak.

“Malah DAP yang merupakan parti kedua terbesar dalam PH, hanya mendiamkan diri kebanyakan masa.

“Ramai lagi pemimpin yang berdiam diri kerana mereka tahu hanya masa akan menentukan kedudukan Dr Mahathir.

“Jika PH mahu mendapatkan kepercayaan, tetapkan tarikh. Buat masa ini tiada tarikh selain pengumuman Dr Mahathir tentang hasratnya untuk hadir ke Apec.”

Chin berkata penetapan tarikh penyerahan kuasa amat penting kerana pelabur mahu tahu siapa yang berkuasa tahun depan.

“Banyak pelaburan ditangguhkan kerana mereka tidak tahu siapa yang berkuasa.” – 20 Januari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen