100 hari Utusan tutup: Kisah saudagar gelembong, pandai silap mata


Zainal Rashid Ahmad

MENIPU boleh jadi kata yang kasar. Muslihat akan jadi kata yang liar. Manipulasi terlalu akademik bunyinya. Kalau disebut penyangak korporat jadi biadap pula naratifnya.

Jadi apakah perkataan paling sesuai untuk menggambarkan konspirasi licik kaum korporat yang bersembunyi di sebalik penstrukturan bisnes?

Saya pilih kata kelentong atau gelembong. Biarlah bunyinya agak kampungan, tapi relevan.

Ini kata kolokial yang tepat bagi menjelaskan betapa rendahnya moral korporat Melayu. Apa lagi, berbisnes dengan niat licik dan tersembunyi.

Dalam kes ini, ia melibatkan usaha kononnya “menyelamatkan suara Melayu dan Islam”.

Ini kisah benar di sebalik “kecurigaan” awam mengenai pemindahan permit semua akhbar terbitan Kumpulan Utusan pada Ogos tahun lalu.

Manipulasi berlaku, apabila lapan editor kanan yang dilobi mengenai penstrukturan semula diberikan maklumat terhad. Ini gelembong saudagar sulap.

Ketika keadaan Kumpulan Utusan sedang nazak dan menuju muflis, pihak pengurusan tiada pilihan. Semua yang hadir memikirkan nasib Utusan Malaysia dan Kosmo. Tidak sempat menghidu niat tersirat di balik gelembong.

Saudagar sulap muncul dengan teori menawarkan bantuan. Namun, tanpa pilihan. Ini kisah, “lapan Abdul editorial” yang terpedaya dengan kelentong kononnya menyelamatkan misi ini demi menyelamatkan akhbar Kumpulan Utusan.

Mendengarkan janji dan strategi penstrukturan semula, lapan Abdul bersetuju: Permit penerbitan Utusan Malaysia, Mingguan Malaysia, Kosmo dan Kosmo Ahad wajar dipindah ke syarikat baharu, Dilof Sdn Bhd (Dilof).

Ini demi memastikan sekiranya Kumpulan Utusan berdepan kebangkrapan, akhbar suara keramat dapat terus diterbitkan.

Ops ini sangat dramatik. Bak kata SM Salim: Kail berduri bersalut umpan.

Apabila bekas pengerusi eksekutif Kumpulan Utusan Abd Aziz Sheikh Fadzir bersetuju memindahkan permit penerbitan kepada Dilof, ia kelihatan satu usaha strategik yang murni.

Memandangkan pengurusan editorial dipengaruhi dengan janji saudagar sulap, kewujudan Dilof dilihat tindakan bijak.

Apa lagi, potensi dua akhbar gergasi milik Kumpulan Utusan itu nantinya bakal berkolaborasi dengan dua lagi akhbar gergasi Melayu yang lain.

Kolaborasi pengiklanan, percetakan dan pengedaran secara berangkaian bakal membantu kestabilan kos operasi dan seterusnya mencatatkan keuntungan bersama.

Bertemu saudagar sulap

Lapan editor kanan Kumpulan Utusan dijemput mendengar penjelasan saudagar sulap yang dianggap tangan ghaib di sebalik semua ops tapau ini.

Lelaki yang berpengaruh; yang berbangga-bangga dengan perniagaan eksport minyak sawitnya malah, menganggap orang lain semua tidak celik berniaga.

Tokoh politik dan perniagaan ini egonya sangat “self centric”. Dua jam terasa bosan kerana syarahnya hanya mengenai ideanya, mengenai dirinya dan strateginya yang tahu segala-galanya mengenai perniagaan media.

Tetamu jadi bosan kerana asyik mendengar kisah bisnes minyak sawitnya yang mencatat keuntungan berbilion ringgit di pasaran Afrika.

“Model bisnes kena betul. Kalau tak betul, kami tidak dapat membantu kerana keadaan Kumpulan Utusan sekarang merugikan,” kata saudagar sulap ini.

Aziz pula menyakinkan kumpulan editor kanan, tawaran ini antara jalan akhir untuk menyelamatkan Kumpulan Utusan.

Ambil kesempatan dalam kesempitan

Itu cerita Ogos 2019, ketika lebih 700 penjawat Kumpulan Utusan tertunggak dua bulan gaji. Ketika itu pekerja Kumpulan Utusan mula berkongsi mi segera di pejabat.

Penjawat marhaen pula terpaksa hidup dengan ehsan bantuan beras, gula dan susu hasil sumbangan awam.

Kumpulan Utusan menuju jalan mati. Sisa harapan yang tinggal hanya pada saudagar sulap.

Akhirnya, walaupun perit – tawaran operasi baharu dengan menghadkan 70 penjawat per akhbar terpaksa diterima.

Model akhbar yang relevan hanya 40 halaman dengan 32 halaman berita dan lapan halaman iklan.

Akhirnya, permit Kumpulan Utusan dijual. Kumpulan Utusan pada 9 Oktober dibungkus secara sukarela. 700 penjawat meninggal pejabat tanpa sesen pun baki gaji. Apalagi pampasan.

Selepas itu, selama tiga bulan, khabar angin kononnya akhbar-akhbar Kumpulan Utusan akan dibuka semula sekadar datang dan pergi. Saudagar sulap pula asyik menafikan dirinya terlibat sebagai broker ops tapau Kumpulan Utusan.

Seperti Hitler menjual Nazisme

Pada Ogos 2019, barisan editorial kanan Kumpulan Utusan berada dalam keadaan linglung. Akhirnya lapan Abdul bersetuju dengan idea Dilof dan penstrukturan bisnes baharu.

Apa lagi pada September 2019, rekod jualan produk Kumpulan Utusan kekal statik. Pendapatan iklan dan margin jualan fizikal tidak mampu menampung kos operasi RM5 juta sebulan.

Kumpulan Utusan tidak mempunyai pilihan. Umpama puisi WS Rendra:

Berjuta-juta burung kondor

mencakar batu-batu,

mematuki batu-batu, mematuki udara,

dan di kota orang-orang bersiap menembaknya.

Teori “turn around” model perniagaan Kumpulan Utusan kini di tangan Aziz selaku pemegang saham utama dan pengerusi eksekutif.

Kemiskinan dan kepapaan Kumpulan Utusan serta keadaan penjawat yang kebuluran menjadikan langkah terbaik ialah bersedia untuk penggulungan sukarela.

Apalagi dengan janji kebajikan lebih 700 penjawat akan dijaga. Paling tidak dengan pampasan minimal.

Kumpulan Utusan pula kalau terus bertangguh akan berdepan saman muflis.

Akhirnya, editor kanan bersetuju. Secara sulit banyak usaha mesyuarat dan muafakat dibuat. Termasuk menyediakan carta operasi baharu.

Umpan bersalut kail. Kononnya pasukan editorial KU akan meneruskan agenda penerbitan apabila permit berpindah ke Dilof.

70 penjawat per akhbar dikenalpasti. Carta pasca penggulungan disediakan. Dilof akan menjadi platform baharu untuk Utusan Malaysia dan Kosmo terus hidup.

Pada Ogos 2019 juga, semua permit sudah dipindahkan ke Dilof. Pada waktu itu, isu saham Dilof akan ditelan pihak lain, langsung tidak dimaklumkan.

Akhirnya, pada 9 Oktober 2019, Kumpulan Utusan digulung secara sukarela. Keadaan jadi mengejutkan kerana dengan tiba-tiba saham Dilof disambar jerung.

Kini, selepas 100 hari Kumpulan Utusan digulung, ketika lebih 700 penjawat belum menerima sesen pun baki dua bulan gaji tertunggak, editor kanan mula sedar: “Utusan sudah kena ‘game’ rupanya!”

Permit penerbitan yang singgah ke Dilof hanya sekadar permainan sulap. Satu muslihat licik yang tidak diduga.

Sulapnya tidak dapat dijelaskan. Sangat pantas dan secekap Hitler mendoktrin kaum Aryan.

Istilah kelentong dan gelembong adalah kata-kata tepat untuk menjelaskan: “betapa kotornya tangan Melayu yang berduit!”

Sekarang kita faham, hanya ada satu Hitler dalam sejarah Eropah. Namun, banyak Hitler dalam sejarah Melayu. – 19 Januari, 2020.

* Zainal Rashid Ahmad ialah wartawan dan penulis sastera yang telah menghasilkan antaranya novel Hikayat Tanah Jauh (2015) dan kumpulan cerpen al-Kisah (2012), Yang Tercinta (2012), Empunya Hikayat (2014), Magis Kota (2016), Pop Urban (2017), dan kumpulan puisi Sepi Itu Mati (2016) dan Orang Sepi Pergi ke Gurun (2018). Beliau memenangi 38 hadiah sastera.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen