Siti Kasim selar Pakatan tak dedah laporan IRC


Alfian Z.M. Tahir

Ketelusan adalah asas kepada tadbir urus yang baik, kata peguam Siti Kasim. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 18 Januari, 2020.

KETELUSAN adalah asas kepada tadbir urus yang baik, maka kerajaan Pakatan Harapan (PH) mesti mendedahkan laporan Jawatankuasa Pembaharuan Institusi (IRC), kata peguam Siti Kasim pada forum hari ini.

Beliau menyelar PH kerana tidak mendedahkan laporan mengenai pencapaian pakatan itu selepas mengambil alih kerajaan pada pilihan raya umum Mei 2018.

“Kenapa berahsia, sepatutnya didedahkan. Ini merupakan tanda-tanda ada yang tidak kena dengan PH. Mereka dipilih oleh rakyat dengan niat yang baik.

“Kita tidak menjangkakan kerajaan baharu ini lemah atau tidak berani serta kurang strategi bahawa ia (kerajaan) beranggapan suara pembangkang adalah suara sebenar pengundi.”

“Wakil rakyat yang dipilih secara praktikalnya terkebelakang dalam segala hal, berdasarkan kurangnya kemahiran bagaimana untuk menjawab pembangkang.

“Tidak mendedahkan laporan IRC adalah tindakan pengecut,” katanya pada forum bertajuk ‘Laporan Jawatankuasa Pembaharuan Institusi (IRC): Kenapa rahsia?’ anjuran Persatuan Kebangsaan Hak Asasi Manusia (Hakam)di Kuala Lumpur hari ini.

Forum yang dipengerusikan Prof Gurdial Singh dari Universiti Malaya itu juga disertai oleh Presiden Hakam S. Ambiga dan Pengarah Eksekutif Suara Rakyat Malaysia (Suaram) Sevan Doraisamy.

IRC ditubuhkan pada 15 Mei 2018 untuk memberi syor pembaharuan kepada kerajaan terhadap beberapa institusi utama negara, dan mengemukakan laporan akhirnya kepada Majlis Penasihat Kerajaan dan Jabatan Perdana Menteri pada Julai 2018.

Jawatankuasa itu dianggotai bekas hakim Mahkamah Rayuan K C Vohrah; bekas hakim mahkamah rayuan dan pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) Mah Weng Kwai; Presiden Persatuan Patriot Kebangsaan (Patriot) Mohd Arshad Raji; Presiden Hakam S Ambiga dan pakar perlembagaan dan pensyarah undang-undang Profesor Dr Shad Saleem Faruqi.

Pada sidang media yang diadakan pada Ogos 2018, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Liew Vui Keong berkata laporan IRC akan didedahkan selepas dibincang secara terperinci oleh Jemaah Menteri. – 18 Januari, 2020.

Berita penuh di sini.    


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen