Amerika serang IS di Somalia


Amerika Syarikat melancarkan serangan menggunakan dron ke atas militan IS di Somalia. IS melakukan serangan bunuh diri di Somalia pada Mei lalu membunuh sekurang-kurangnya lima orang ketika ia terus meluaskan kuasanya di kawasan milik Shabaab.– Gambar AFP, 4 November, 2017.

AMERIKA SYARIKAT melancarkan beberapa serangan menggunakan dron ke atas militan Kumpulan Negara Islam Syria dan Iraq (IS) di Somalia pada Jumaat, serangan pertama kali dilakukan AS ke atas negara Afrika, kata pegawai.

Serangan itu dilakukan di kawasan utara Somalia dan membunuh “beberapa orang pengganas”, kata Komander Tentera AS di Afrika dalam satu kenyataan.

Menurut Voice of America (VOA), yang memetik kenyataan pengerusi bandar Qandala di kawasan semi autonomi Puntland, enam peluru berpandu dilancarkan ke atas pangkalan IS di perkampungan Buqa, 60 kilometer dari pusat bandar.

“Penduduk tempatan terkejut dan melarikan diri,” kata Jama Mohamed Qurshe kepada VOA.

Jurucakap AFRICOM, Leftenan Komander Anthony Falvo berkata tiada orang awam terbunuh dalam serangan itu.

“Ia mengenai sasaran,” katanya kepada AFP menambah yang itu adalah serangan udara pertama disasarkan kepada IS di Somalia.

Serangan itu dilakukan sekitar tengah malam waktu tempatan (0300 GMT) dan serangan kedua berlaku sekitar jam 11 pagi (1400 GMT).

Sejak beberapa bulan kebelakangan ini, AS beberapa kali menyerang militan Somali daripada kumpulan pemberontak Shabaab yang mempunyai hubungan dengan Al-Qaeda, tetapi serangan Jumaat itu merupakan perkembangan terbaru dalam perang menentang keganasan diterajui IS.

“Tentera AS akan terus menggunakan kaedah yang diluluskan dan bersesuaian bagi melindungi rakyat Amerika dan melumpuhkan ancaman keganasan,” kata AFRICOM.

IS melakukan serangan bunuh diri di Somalia pada Mei lalu membunuh sekurang-kurangnya lima orang ketika ia terus meluaskan kuasanya di kawasan milik Shabaab.

Militan itu diketuai oleh bekas ulama Shabaab, Abdiqadir Mumin yang berpaling tadah daripada Al-Qaeda kepada IS pada Oktober 2015 dan dinamakan “pengganas dunia” oleh Jabatan Negara AS pada Ogos lalu.

Mumin dilahirkan di Puntland dan tinggal di Sweden sebelum berpindah ke UK sekitar tahun 2000 dan diberikan kerakyatan British. – AFP, 4 November, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen