ENAM lelaki berumur 19-41 tahun ditahan ketika sedang mengepam minyak sawit mentah (CPO) daripada dua lori tanpa permit.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu ACP Nasri Mansor berkata sepasukan anggota polis menahan mereka di sebuah premis perniagaan di Batu 5, Jalan Lew Kong Len di sini pada Selasa (14 Januari), kira-kira pukul 2.30 petang.
“Pemeriksaan lanjut mendapati permit menjual, membeli dan menyimpan minyak CPO syarikat berkenaan telah tamat tempoh pada 30 Jun lepas.
“Polis telah merampas tiga buah lori berisi minyak CPO dan nilai rampasan keseluruhan dianggarkan kira-kira RM70,000,” katanya pada sidang akhbar mengenai kes itu di Lahad Datu hari ini.
Menurut Nasri, polis mendapat maklumat lanjut aktiviti itu telah dijalankan sejak lebih 10 tahun dan dipercayai didalangi satu sindiket.
Kes disiasat di bawah Peraturan 5(1) Peraturan-Peraturan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (Perlesenan) 2005, katanya.– Bernama, 17 Januari, 2020.
Komen