2 suspek 10 kes pecah kereta ditahan


POLIS berjaya menyelesaikan kira-kira 10 kes membabitkan pecah kereta dan curi alat kelengkapan kereta di kawasan tempat letak kereta sebuah pasar raya di Klang dengan penahanan dua suspek lelaki pada Isnin lepas.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan ACP Shamsul Amar Ramli berkata suspek berusia 27 tahun dan 35 tahun itu ditahan di sebuah rumah di Jalan Sembilang, Teluk Pulai di Klang pada kira-kira 4 pagi.

Beliau berkata dengan penahanan suspek, polis turut merampas beberapa barang dan peralatan kereta dipercayai dicuri dan beberapa alat dipercayai digunakan untuk memecah masuk kenderaan.

“Tangkapan ini dilakukan selepas kami melakukan risikan susulan kejadian sebuah kereta jenis Perodua Axia yang dipecah pada 7 Januari lepas,” katanya dalam sidang akhbar di Klang hari ini.

Shamsul Amar berkata soal siasat awal mendapati kedua-dua suspek mengaku bertanggungjawab terhadap kira-kira 10 kejadian pecah kereta di kawasan tempat letak kereta pasar raya berkenaan.

Kedua-dua suspek direman sehingga 20 Januari ini untuk siasatan, katanya.

Shamsul Amar berkata polis berjaya merampas  238 karton rokok pelbagai jenama tidak lulus kastam dalam serbuan di sebuah rumah dan enam kedai di Kampung Delek di Klang pada Selasa lepas.

“Dalam serbuan yang dijalankan selama kira-kira empat jam bermula pukul 6 petang itu, polis turut menahan lima suspek lelaki tempatan dan tiga suspek lelaki Indonesia berusia 27 sehingga 35 tahun,” katanya.

Katanya rampasan dianggarkan bernilai RM125,875. – Bernama, 17 Januari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen