KADAR tol di semua lebuh raya kendalian PLUS Malaysia Berhad (PLUS) akan diturunkan sebanyak 18% bermula seawal 1 Februari ini, dan tidak akan dinaikkan sehingga 2058, kata Pejabat Perdana Menteri.
Pada masa sama, tempoh konsesi semua lebuh raya PLUS dilanjutkan untuk 20 tahun lagi, dari 2038 sehingga 2058.
“Tiada sebarang bayaran akan dibuat oleh kerajaan kepada PLUS sebagai timbal balas berikutan pengurangan kadar tol tersebut,” kata Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan hari ini.
Kenyataan itu memberikan contoh kadar tol dari Jalan Duta ke Alor Setar yang sekarang ditetapkan RM55.50 akan turun menjadi RM45.50, manakala kadar tol Jalan Duta ke Skudai turun kepada RM38.50 berbanding RM47.00 sekarang.
“Apabila ia dilaksanakan, kadar tol baharu lebih rendah daripada kadar tol pada 1999,” kata kenyataan itu.
Pengumuman hari ini menyusul keputusan Jemaah Menteri minggu ini tidak menjual PLUS kepada mana-mana pihak sebaliknya mengekalkan syarikat itu di bawah kawalan kerajaan melalui Khazanah Nasional Berhad dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Lebuh raya yang terlibat ialah Lebuhraya Utara Selatan, dan dua lebuh raya di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor iaitu Lebuhraya Baru Lembah Kelang (NKVE), Lebuhraya Utara-Selatan Lingkaran Tengah (Elite).
Pengurangan kadar tol ini juga melibatkan Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia – Singapura (Link kedua) dan Lebuhraya Seremban – Port Dickson (SPDH) di sebelah selatan Semenanjung Malaysia, serta Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT 2) di pantai timur.
Di sebelah utara Semenanjung Malaysia, kadar tol juga dikurangkan bagi Lebuhraya Butterworth – Kulim (BKE) dan Jambatan Pulau Pinang (JPP).
Menurut kenyataan itu, lanjutan tempoh konsesi selama 20 tahun bertujuan memastikan PLUS mampu menjalankan kegiatan penyelenggaraan dan operasi lebuh rayanya tanpa bergantung kepada kerajaan.
Kerajaan juga tidak lagi akan menanggung beban membayar pampasan kepada PLUS, dan akan menjimatkan kira-kira RM42 juta sepanjang tempoh konsesi, kata kenyataan itu.
PLUS pula akan kekal sebagai pengendali dan akan terus memegang aset dan liabiliti syarikat serta mengurus pembiayaan kos operasi dan penyelenggaraan, sementara kerajaan terus menguasai syarikat lebuh raya itu.
“Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dan KWSP kekal sebagai pemegang saham PLUS,” kata kenyataan itu.
Semalam, Dr Mahathir Mohamad memberitahu Jemaah Menteri sebulat suara memutuskan tidak menjual PLUS selepas kerajaan meneliti semua bidaan yang dikemukakan oleh pihak yang berminat.
“Selepas mempertimbangkan semua faktor dan bidaan, akhirnya kita memutuskan jalan terbaik ialah tidak menjual PLUS kepada sesiapa pun, sebaliknya ia dikekalkan menjadi milik Khazanah dan KWSP,” katanya.
Laporan media sebelum ini menyebut lima pembida berminat mengambil alih PLUS.
Lima pembida itu ialah Maju Holdings Sdn Bhd, RRJ Capital, Widad Group Bhd, ahli perniagaan Halim Saad, dan Koperasi Konsortium Pemaju dan Kontraktor Bumiputera Perak Bhd (KKPBP).
Pada pilihan raya umum yang lalu, Pakatan Harapan berjanji akan mengambil langkah segera termasuk mengkaji semula semua perjanjian konsesi lebuh raya dengan matlamat akhir untuk menghapuskan kutipan tol di lebuh raya secara berperingkat. – 17 Januari, 2020.
Komen