ABAIKAN sahaja kekecohan yang timbul kerana “sekatan lembut” India ke atas minyak sawit terproses (PPO) kerana ia boleh jadi rahmat kepada Malaysia selaku pengeksport utama, kata pakar komoditi.
Ini adalah kerana keputusan India itu akan menyebabkan kekurangan PPO dalam pasaran lain yang boleh diisi Malaysia, kata pakar selepas seminar minyak sawit di Kuala Lumpur.
Keputusan India itu bermakna negara itu perlu mengimport lebih banyak minyak sawit mentah (CPO) dari Indonesia untuk diproses kilangnya sendiri untuk menjadi PPO, kata pakar komoditi Dr James Fry dari LMC International Ltd berpangkalan di London.
Apabila India membeli lebih banyak CPO dari Indonesia, republik itu akan mengalami kekurangan minyak sawit mentah untuk diproses kepada CPO untuk dijual kepada pelanggan biasanya.
“Akan ada permintaan besar untuk minyak sawit bertapis kerana kebanyakan import dunia adalah untuk minyak sawit jenis itu,” kata Fry menambah yang negara pengimport tidak mempunyai kapasiti untuk mengubah CPO kepada PPO.
Negara pengeksport minyak sawit kedua dan ketiga dunia iaitu China dan Kesatuan Eropah, misalnya, hanya mengimport PPO.
“Hanya India membeli banyak CPO. Jadi, bila India mahu beli lebih banyak dari Indonesia, negara itu tidak boleh buat kedua-duanya sekali. Indonesia tidak boleh eksport lebih banyak CPO kepada India dan pada masa sama ada baki mencukupi untuk menapisnya dan menjualnya (PPO) kepada pelanggan biasa mereka.
“Ia (Indonesia) juga perlu menggunakan CPO untuk mengisi mandat biodieselnya,” jelas Fry, merujuk kepada dasar negara itu untuk meningkatkan penggunaan biodiesel.
“Akan wujud lompang dalam bekalan PPO dunia. Dan satu-satunya negara lain yang boleh mengisi lompang itu adalah Malaysia.”
Pada 2019, Malaysia mengeksport 14.64 juta tan PPO berbanding 3.83 juta tan CPO.

Malaysia akan menjadi penerima faedah tidak langsung kerana keputusan India kerana PPO akan dijual kepada negara yang sebelum ini membelinya dari Indonesia.
“Ia permainan kalah mati. Anda turunkan satu perkara di sini, akan ada yang naik di tempat lain.
“Ia situasi berpusing-pusing kerana jika satu pengeluar mengurangkan keluaran, yang lain mengambil peluang,” kata Fry.
Menurutnya lagi, permintaan PPO dunia adalah stabil dan semakin berkembang.
Minggu lepas, India mengumumkan kenaikan cukai tempatan ke atas minyak sawit bertapis import kepada 45% manakala cukai ke atas minyak sawit mentah dikekalkan pada 37.5%.
New Delhi juga mengelaskan semula PPO kepada “terbatas” berbanding “bebas” dalam peraturan importnya.
Pemain industri tempatan bimbang keputusan itu akan memberi kesan kepada eksport komoditi kepada India kerana Malaysia menjual lebih banyak PPO kepadanya berbanding CPO.
Pada 2019, Malaysia mengeksport hampir 4.4 juta tan produk minyak sawit ke India- pelanggan terbesarnya.
New Delhi berkata keputusan itu dibuat untuk membantu merancakkan industri minyaknya.
Menteri Industri Utama Teresa Kok semalam berkata Malaysia akan menggunakan saluran diplomatik dan bermesyuarat dengan pihak berkepentingan untuk menangani isu itu. – 17 Januari, 2020.
Komen