Tempahan jamuan Tahun Baharu Cina kurang kerana ekonomi lembap


Angie Tan

Bagaimanapun, tempahan bagi jamuan Tahun Baru Cina menggalakkan walaupun banyak majikan kini tidak mengadakan jamuan akhir tahun untuk pekerja. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 Januari, 2020.

BANYAK majikan kini tidak mengadakan jamuan akhir Tahun Baru Cina untuk pekerja hingga menjejaskan keuntungan pengusaha restoran.

Jamuan setahun sekali ini bukan sahaja sebagai galakan kepada pekerja, tetapi juga secara tradisi adalah waktu yang paling sibuk bagi pengusaha.

Pengusaha restoran yang ditemui The Malaysian Insight berkata ekonomi yang perlahan ditambah pula dengan kenaikan harga makanan menyebabkan banyak syarikat tidak lagi mengadakan jamuan.

Jika ada pun, mereka memilih perkhidmatan katering yang jauh lebih murah untuk menjamu pekerja, tambah mereka.

Pengusaha ini menganggarkan kira-kira 20% syarikat tidak lagi mengadakan jamuan tahunan untuk pekerja mereka.

“Kita ada tanya dan mereka cakap tak buat jamuan akhir tahun untuk tahun ini,” kata Presiden Pan Malaysia Koo Soo Restaurants, Chefs Association Wong Teu Hoon.

Bagi Chef Eksekutif Puchong Harmony Banquet, Yin Lau pula, majikan tidak lagi mengadakan jamuan akhir tahun sebagai langkah berjimat-cermat.

“Ramai yang kata mereka tak banyak untung, jadi mereka tak buat jamuan akhir tahun.

“Ada syarikat yang tetap adakan jamuan, tetapi mereka kurangkan jumlah meja. Ataupun mereka pilih makanan yang jauh lebih murah. Ada juga yang buat jamuan secara ‘buffet’,” kata Yin.

Bagaimanapun, tempahan bagi jamuan makan  besar Tahun Baru Cina cukup menggalakkan walaupun mereka mempunyai masalah kekurangan pekerja, kata Wong dan Yin.

Yin berkata untuk menarik lebih ramai pelanggan restorannya menawarkan harga murah, dengan kos bagi setiap meja dikurangkan sehingga RM799 bagi tahun ini berbanding RM899 pada 2019.

“Kami faham ekonomi tak berapa baik, jadi kami kurangkan harga. Oleh itu, tempahan kami untuk sepanjang Januari penuh,” katanya. – 17 Januari, 2020.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen