9 maut letupan bom kereta di Bukit Golan


Pengebom nekad dari Al-Nusra Front meletupkan bom kereta di tengah-tengah kediaman penduduk di pinggir Hader, berhampiran Bukit Golan yang membunuh sembilan orang dan mencederakan sekurang-kurangnya 23 yang lain. – Gambar fail EPA, 3 November, 2017.

SERAMAI sembilan orang maut dalam letupan bom kereta yang dilakukan penyerang nekad di sebuah kampung di Bukit Golan di Syria pada Jumaat.

Agensi berita SANA mengatakan bom kereta itu meletup di pinggir kampung Hader, yang terletak berhampiran sempadan yang memisahkan kawasan dikuasai pihak Syria dan bahagian Golan yang diduduki Israel.

“Pengebom nekad dari Al-Nusra Front meletupkan bom kereta di tengah-tengah kediaman penduduk di pinggir Hader, membunuh sembilan orang dan mencederakan sekurang-kurangnya 23 yang lain,” kata agensi itu.

Al-Nusra Front adalah nama lama untuk kumpulan pelampau yang dahulunya adalah sekutu Al-Qaeda di Syria dan kini dikenali sebagai Front Fateh al-Sham.

“Selepas serangan, kumpulan pengganas melakukan serangan terhadap Hader, dan unit tentera serta unit Pertahanan Popular (militan pro-kerajaan) bertempur dengan penyerang,” kata SANA.

Agensi itu berkata angka kematian dijangka meningkat kerana beberapa orang yang cedera berada dalam keadaan serius dan serangan yang berterusan di bandar menjadikannya sukar untuk membawa mereka yang cedera ke tempat lebih selamat. – AFP, 3 November, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen