Arul Kanda tidak serah semua maklumat untuk laporan audit 1MDB, kata saksi


Bede Hong

Saksi mendakwa bekas CEO 1MDB Arul Kanda Kandasamy hanya menyediakan 60% maklumat diperlukan untuk laporan audit syarikat yang akan dibentangkan kepada PAC. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 16 Januari, 2020.

WALAUPUN berjanji untuk bekerjasama dengan Jabatan Audit Negara, bekas ketua pegawai eksekutif (CEO) 1Malaysia Development Bhd (1MDB) Arul Kanda Kandasamy tidak memberikan semua maklumat diperlukan untuk laporan audit yang akan dihantar ke Parlimen pada awal 2016.

Saadatul Nafisah Bashir Ahmad, yang mengetuai pasukan audit khas 1MDB, memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini yang Arul hanya menyediakan 60% maklumat diperlukan untuk laporan audit 1MDB yang akan dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).

“Kami bertemu dengannya banyak kali (pada 2015), sebagai CEO, beliau berjanji untuk bekerjasama dengan kami. Cara beliau bercakap okay saja, dan kami menunggu maklumat itu.

“Tetapi maklumat itu tidak pernah sampai kepada kami,” saksi berusia 64 tahun itu ketika memberi keterangan semasa soal balas perbicaraan 1MDB hari ini.

Arul, 43, dibicarakan kerana bersubahat dengan bekas perdana menteri Najib Razak untuk menghapuskan bahagian laporan akhir audit 1MDB antara 22 dan 26 Februari 2016 di Jabatan Perdana Menteri sebelum ia diserahkan kepada PAC.

Ketika disoal balas oleh peguam Najib, Muhammad Shafee Abdullah, Saadatul Nafisah tidak bersetuju dengan cadangan bahawa Arul Kanda tidak berkuasa sepenuhnya dan penyandang terdahulu, Shahrol Azral Ibrahim Halmi, menjadi punca maklumat disembunyi daripada jabatan.

Saksi juga tidak bersetuju dengan cadangan bahawa Low Taek Jho, yang lebih dikenali sebagai Jho Low, sepatutnya dipersalahkan bagi maklumat yang tidak diserahkan.

Shafee: Adakah anda memastikan sama ada ia (1MDB) berada dalam kawalannya (Arul Kanda)?

Saadatul Nafisah: Sebagai CEO, ia seharusnya berada di bawah kawalannya.

Shafee: Sejujurnya, 1MDB tidak seperti mana-mana syarikat lain. Terdapat konspirasi dan counter-conspiracies dalam syarikat ini. Anda tentu sudah memastikan hal ini?

Saadatul Nafisah: Ya.

Shafee: Dan ada watak Jho Low yang berlegar. Mengapa kamu tidak kata Jho Low?

Saadatul Nafisah: Tetapi beliau bukan dalam syarikat itu (ketika itu). Kami tidak tahu sejauh mana peranannya.

Shafee: Sekarang anda tahu (penglibatannya dalam 1MDB)?

Saadatul Nafisah: Selepas audit.

Shafee: Bagaimana anda tahu bahawa Encik Arul tidak mengalami masalah kekangan?

Saadatul Nafisah: Beliau sepatutnya memberitahu kami. Kami hanya mendapat 60% maklumat yang diminta. Beliau berkata 40% tidak ada. – 16 Januari, 2020.

Berita penuh di sini


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen