PUTRAJAYA akan meneruskan program sarapan percuma di sekolah dengan perubahan kecil iaitu ia hanya untuk pelajar yang tidak berkemampuan sahaja, kata Dr Mahathir Mohamad.
Perdana menteri itu yang juga kini memangku jawatan menteri pendidikan berkata, sarapan percuma tidak boleh diberikan kepada semua pelajar kerana ia tidak adil untuk diberikan kepada pelajar daripada keluarga kaya.
“Kita akan teruskan program yang ada sekarang kepada mereka yang tidak mampu, tetapi nak bagi kepada semua bermakna mereka yang ada duit, kaya dan makan di rumah banyak pun dapat juga, itu tidak adil,” katanya selepas pelancaran Kompleks Balai Islam Tenaga Nasional Berhad, pagi tadi.
Kabinet sebelum ini meluluskan program sarapan percuma di sekolah yang digerakkan bekas menteri pendidikan Dr Maszlee Malik, tetapi Kementerian Kewangan tidak mempunyai RM1.67 bilion yang diperlukan untuk mengadakannya di semua sekolah.
Kekangan itu menyebabkan program yang akan dilancarkan bulan ini hanya akan bermula di 100 sekolah sahaja.
Rancangan asal adalah memberikan sarapan percuma kepada semua sekolah rendah, memberi manfaat kepada 2.7 juta pelajar.
Pada akhir bulan lalu, Kementerian Pendidikan mengumumkan pelaksanaan fasa pertama program sarapan percuma bermula Isnin ini dengan belanja RM22 juta.
Program di 100 sekolah terpilih yang mempunyai majoriti murid dari keluarga berpendapatan rendah B40 itu akan meliputi 37,000 murid.
Ia menggunakan menu berkonsepkan Grab ‘n’ Go yang terdiri minuman produk tenusu atau minuman berkhasiat dan makanan ringkas seperti roti, biskut, snek bijirin, kuih, sandwich, buah-buahan atau telur rebus.
Program sarapan percuma adalah usaha Kementerian Pendidikan menyediakan makanan berkhasiat yang seimbang kepada murid bagi memastikan tiada kanak-kanak yang tercicir dari segi tumbesaran.
Program ini diumumkan oleh Maszlee pada Ogos 2019, kira-kira empat bulan selepas Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail mempengerusikan mesyuarat mengenainya di Putrajaya. – 16 Januari, 2020.
Komen