Mustapa dilantik ketua Teraju kerana pengalaman luasnya, kata Dr Mahathir


Noel Achariam

Mustapa Mohamed dilantik menjadi pengerusi Teraju, agensi pembangunan Bumiputera yang kini di bawah Kementerian Hal Ehwal Ekonomi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 Januari, 2020.

BEKAS menteri perdagangan antarabangsa dan industri Mustapa Mohamed dilantik sebagai pengerusi Teraju kerana pengalaman luasnya, kata Dr Mahathir Mohamad.

Perdana menteri itu berkata tidak ramai orang yang berpengalaman bekerja dalam sektor kerajaan dan swasta.

“Kita perlukan orang yang berpengalaman,” katanya selepas pelancaran Kompleks Balai Islam Tenaga Nasional Berhad, pagi tadi.

Teraju atau Unit Peneraju Agenda Bumiputera ditubuhkan pada 2011 oleh Jabatan Perdana Menteri sebagai unit strategik menerajui progres penglibatan Bumiputera melalui program tersusun, terancang dan berjangka panjang.

Ia kini diletakkan di bawah Kementerian Hal Ehwal Ekonomi.

Mustapa yang merupakan bekas pemimpin kanan Umno kini adalah ahli Bersatu, parti diterajui Dr Mahathir.

Dalam satu kenyataan, Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali berkata Mustapa, yang juga merupakan ahli Parlimen Jeli, akan berkhidmat sebagai ketua Teraju untuk tempoh dua tahun.

“Selaras dengan misi Teraju untuk memastikan penyertaan Bumiputra dalam ekonomi, saya yakin beliau akan dapat memajukan agenda ekonomi Bumiputera selaras dengan Wawasan Sejahtera Bersama 2030.

“Dengan kepimpinan baru ini, saya yakin usaha berterusan akan dibuat untuk meningkatkan daya saing dan memperkukuhkan penyertaan Bumiputra dalam ekonomi.”

Beliau berkata rekod panjang Mustapa dalam kerajaan menjadi satu kelebihan yang berguna.

Selain berkhidmat sebagai menteri perdagangan dan industri antarabangsa, Mustapa pernah memegang portfolio dalam bidang pertanian, pendidikan tinggi, kewangan, dan pembangunan usahawan dalam kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini.

Beliau keluar daripada BN beberapa minggu selepas pilihan raya umum pada 9 Mei 2018 dan menyertai Bersatu tahun lepas. – 16 Januari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen