Keputusan permohonan ikat jamin Adun kes LTTE 23 Januari 


Bede Hong

Keputusan permohonan ikat jamin Adun Seremban Jaya, P. Gunasekaran akan didengar di Mahkamah Tinggi selepas peguamnya Ramkarpal Singh berhujah bahawa penafian ikat jamin ke atas tertuduh tidak berperlembagaan.– Gambar fail The Malaysian Insight, 16 Januari, 2020.

MAHKAMAH Tinggi menetapkan 23 Januari bagi keputusan permohonan ikat jamin Adun Seremban Jaya P. Gunasekaran yang didakwa terlibat dengan keganasan dan dinafikan jaminan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) (Sosma). 

Dalam permohonan di hadapan Hakim Muhammad Jamil Hussin di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Gunasekaran dalam permohonan itu berkata, pertuduhan ke atasnya adalah kabir dan peruntukan Akta Sosma yang digunakan untuk menahannya adalah tidak berperlembagaan. 

Hakim Muhammad Jamil menetapkan tarikh berkenaan selepas mendengar hujah peguam yang mewakili Gunasekaran, Ramkarpal Singh, yang mengatakan bahawa pada 29 tahun lalu Mahkamah Tinggi telah memutuskan sesiapa yag ditahan di bawah kesalahan keganasan perlu dibenarkan ikat jamin. 

Gunasekaran, 60 merupakan antara sekumpulan lelaki yang ditahan pada Oktober tahun lalu di bawah undang-undang keselamatan dan didakwa kerana terlibat dengan kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE). 

Gunasekaran memakai kemeja-t berwarna putih dan digari ketika duduk di kandang tertuduh.

Turut hadir di galeri awam bersama ahli keluarga dan penyokong lain adalah pemimpin DAP Lim Kit Siang. 

Gunasekaran minta dibicarakan di mahkamah tinggi pada 18 Disember lalu atas tuduhan menyokong kumpulan pengganas LTTE menggunakan aplikasi Facebook di bawah nama “DAP Guna Palanisamy”.

Beliau didakwa di bawah Seksyen 130J (1)(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau maksimum 30 tahun atau denda dan semua aset yang digunakan dalam melakukan kesalahan itu akan dirampas, jika sabit kesalahan.– 16 Januari, 2020.

Berita penuh di sini. 


 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen