Jangan berdrama isu peralihan kuasa 


SAYA terpanggil untuk mengutarakan beberapa pandangan berdasarkan senario yang agak kurang sihat berlaku sejak kebelakangan ini.

Apa yang berlaku seolah-olah memberi gambaran bahawa pimpinan bawahan tidak faham atau sengaja tidak faham tentang kedudukan Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri.

Sebagai wakil rakyat Pakatan Harapan (PH) yang duduk sebumbung atas nama komponen PH, seharusnya kita semua perlu faham bahawa hormatkan pemimpin adalah keutamaan.

Adalah satu tindakan yang kurang sihat atau lebih tepat agak kurang ajar apabila ada segelintir pimpinan komponen PH membuat kenyataan secara terbuka di forum, akhbar, portal dan sebagainya mendesak Dr Mahathir mengotakan janji melepaskan jawatan perdana menteri kepada Anwar Ibrahim.

Sepatutnya, semua sedia maklum bahawa keputusan Majlis Presiden adalah muktamad dalam hal ini.

Saya selaku ahli Bersatu yang juga Adun Jeram mendesak agar Majlis Presiden segera mengeluarkan kenyataan supaya mendesak Dr Mahathir meletakkan jawatan atau meminta beliau mengekal jawatannya. Jangan hanya bersandiwara dan memperlekehkan nilai seorang negarawan.

Presiden setiap komponen PH harus faham cara terbaik memberi nasihat kepada orang bawahan supaya tidak terlalu kurang ajar.

Jangan hanya tahu mendesak tetapi apabila disuruh membuat satu keputusan, Majlis Presiden sendiri tidak berani. Saya tidak sanggup melihat pimpinan nombor satu negara yang juga tokoh utama Bersatu disindir seolah-olah tidak bermaruah.

Sekali lagi saya ulang, jika kamu berani buat keputusan mendesak Dr Mahathir melepaskan jawatan, maka buatlah.

Jika tidak kamu buat satu kenyataan bersama Majllis Presiden mahukan Dr Mahathir kekal menjadi perdana menteri sehingga satu masa yang sesuai untuk diserahkan kepada penggantinya. – 15 Januari, 2020.

* Mohd Shaid Rosli adalah Adun Jeram.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen