JABATAN Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) tidak pernah mengharamkan mana-mana sambutan perayaan bukan Islam di negara ini, tegas Mujahid Yusof Rawa.
Namun menteri agama itu berkata, umat Islam perlu mematuhi beberapa perkara ketika menghadiri sambutan perayaan penganut agama lain.
“Saya ingin tegaskan di sini dengan terang dan nyata, Jakim tidak pernah mengharamkan apa-apa perayaan, tetapi ada caranya untuk umat Islam menghadiri program seperti itu,” kata Mujahid.
“Dalam surat Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), kami nyatakan ada cara hadiri program, sebagai umat Islam kita terikat dengan etika menghadiri upacara agama lain, ritual atau bukan, itu normal.”
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyerahan peruntukan untuk sekolah tahfiz, sekolah agama rakyat, dan sekolah pondok di bangunan Kementerian Kewangan di Putrajaya, hari ini.
Kenyataan Mujahid itu merujuk kepada kontroversi surat pekeliling sambutan Ponggal yang dikeluarkan KPM semalam.
Dalam surat pekeliling itu, KPM berkata orang Islam diharamkan untuk menyertai sambutan Pesta Ponggal bagi umat Islam berdasarkan keputusan mesyuarat panel Pakar Syariah (PPS) Jakim pada 8 dan 9 April tahun lalu.
Namun awal hari ini, KPM dalam kenyataannya hari ini menjelaskan pengeluaran surat kontroversi berkaitan status haram pesta Ponggal bagi orang Islam dibuat bagi meredakan kebimbangan ibu bapa.
Jakim dalam penjelasannya pula berkata agensi hal ehwal agama itu hanya memberikan pandangan mengenai sambutan Ponggal selepas dirujuk mengenainya oleh KPM.
Dalam kenyatan itu, Jakim berkata pihaknya merujuk isu penglibatan orang Islam khususnya murid dan guru Muslim di sekolah-sekolah dalam Pesta Ponggal seperti mana surat pekeliling yang dikeluarkan oleh KPM pada dua hari lalu.
“Pandangan yang dikeluarkan adalah susulan daripada permohonan pihak KPM kepada Jakim mengenai garis panduan kepada warga pendidikan Muslim yang terlibat dalam perayaan tersebut.
“Jakim hanya memberi padnangan dari sudut penglibatan orang Islam,” kata kenyataan itu.
Jakim berkata pihaknya tidak menghalang sambutan tersebut dilaksanakan dan tiada masalah untuk orang Islam mengucapkan selamat kepada golongan yang menyambut perayaan itu.
“Panel Pakar Syariah Jakim juga berpandangan adalah harus untuk orang Islam mengucapkan selamat kepada rakan dan jiran yang menyambut perayaan tersebut tanpa niat mengiktiraf agama mereka.
“Umat Islam juga tidak boleh memaki dan mencaci serta menghina tuhan-tuhan agama mereka.”
Dalam program hari ini, Menteri Kewangan Lim Guan Eng menyerahkan peruntukan RM100 juta kepada sekolah agama rakyat, sekolah tahfiz dan sekolah pondok.
Peruntukan itu disediakan sebanyak RM50 juta untuk sekolah tahfiz, RM25 juta bagi sekolah agama rakyat dan persendirian, dan RM25 juta lagi bagi sekolah pondok berdaftar.
Mujahid berkata, peruntukan itu akan disalurkan kepada 205 sekolah pondok, 1,026 sekolah tahfiz, dan 1,880 sekolah agama rakyat dan persendirian yang berdaftar dengan kementerian. – 15 Januari, 2020.
Komen