Hanya sebilangan kecil rakyat main isu perkauman, kata wakil rakyat


Ahli Parlimen Sibu Oscar Ling Chai Yew berkata keharmonian di antara kaum di negara ini harus dipelihara demi mencapai Wawasan Kemakmuran Bersama 2030. – Gambar ihsan Roketkini, 15 Januari, 2020.

PERPADUAN di Malaysia masih kukuh dan terus terpelihara melalui perayaan yang disambut rakyat berbilang kaum kata Ahli Parlimen Sibu Oscar Ling Chai Yew hari ini.

Beliau berkata, meskipun ada sentimen-sentimen perkauman dari masa ke semasa, ia hanya dilakukan oleh sebilangan kecil rakyat yang mempunyai  agenda tertentu.

“Majoriti rakyat berpegang teguh dan memelihara perpaduan di negara ini. Hanya sebilangan kecil sahaja yang memainkan isu-isu perkauman,” katanya.

Beliau ditemui pemberita semasa majlis makan tengahari DAP bersama media bersempena sambutan Tahun Baru Cina di Sibu hari ini.

Majlis turut dihadiri oleh Ahli Parlimen Lanang Alice Lau, Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Assek Irene Chang dan Ahli Dewan Undangan Negeri Pelawan David Wong Kee Woan.

Menurut Ling, keharmonian di antara kaum di negara ini harus dipelihara demi mencapai Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.

Sementara itu, Wong yang juga timbalan pengerusi DAP Sarawak dalam ucapan ringkasnya berkata, majlis makan tengahari itu adalah tradisi yang dimulakan oleh bekas pengerusi DAP negeri mendiang David Wong Ho Leng.

Ia diadakan bagi menghargai sumbangan pihak petugas media dan juga pekerja-pekerja sosial yang membantu parti tersebut di dalam memberikan perkhidmatan kepada penduduk di Sibu. – Bernama, 15 Januari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen