Polis tarik balik lesen senjata api buru haiwan liar


Kalidevi Mogan Kumarappa

Polis akan ambil langkah seterusnya iaitu akan membatalkan lesen senjata api yang memberi kebenaran untuk memburu selain untuk keselamatan diri dan menjaga tanaman. – Gambar AFP, 15 Januari, 2020.

POLIS akan menarik balik 6,900 lesen senjata api yang dikeluarkan untuk memburu haiwan liar sebagai langkah menangani kepupusan spesies hidupan liar dan tumbuh-tumbuhan akibat akitiviti pemburuan.

Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador berkata keputusan itu selaras dengan Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) untuk melindungi hidupan liar, yang dijalankan secara holistik bersama beberapa agensi lain.

“Kita akan ambil langkah seterusnya iaitu akan membatalkan lesen senjata api yang memberi kebenaran untuk memburu selain untuk keselamatan diri dan menjaga tanaman.

“Ia membabitkan 6,900 pemegang lesen yang diberikan kebenaran untuk memburu dan proses tarik balik itu akan dijalankan secara berperingkat,” katanya pada sidang media di Pulapol, hari ini.

Ops Khazanah dijalankan sejak pertengahan tahun lalu melibatkan kerjasama pelbagai agensi termasuk Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia, Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia.

Sementara itu, Abdul Hamid menasihati pasukan petugas operasi supaya tidak gentar dengan ancaman pihak yang menggunakan nama orang kenamaan (VVIP) untuk memburu haiwan liar di kawasan larangan.

“Ada individu tertentu menggunakan nama VVIP untuk mendapat kebenaran masuk kawasan larangan dan mengganggu tugas anggota. Saya sudah keluarkan arahan supaya mereka tidak gentar. 

“Kalau ada pembabitan VVIP dalam perbuatan memburu secara haram sekali pun, saya tetap akan tangani mengikut undang-undang,” katanya.

Menurut Abdul Hamid, sudah tiba masanya rakyat Malaysia tidak lagi menjadikan aktivit memburu sebagai hobi.

Pemburuan bermusim juga akan dikurangkan dan dihapuskan sekali gus, katanya.

Pada masa sama, Abdul Hamid mengingatkan pemilik lesen senjata bagi tujuan pertanian supaya mengelak daripada menembak haiwan.

“Senjata api yang digunakan untuk musuh tanaman itu, kalau boleh halau dulu, pastikan menembak itu adalah langkah terakhir.

“Kami sedang berbincang dengan bahagian perundangan dan peguam juga, ini adalah langkah penguatkuasaan tahap tinggi dan pada masa untuk tidak menggalakkan pemburuan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Perhilitan, Abdul Kadir Abu Hashim menyatakan pihaknya juga sudah mengurangkan tempoh untuk memburu babi hutan dari sepanjang tahun ke enam bulan.

Katanya, selain itu, larangan sementara selama lima tahun bermula 2018 juga dilaksanakan untuk memburu rusa dan kijang di negara ini.

Sejak OBK dilancarkan pada suku tahun ketiga 2019, sebanyak 56 kes direkodkan dan 102 orang ditahan atas pelbagai kesalahan.

Tangkapan itu membabitkan 43 rakyat tempatan, tiga Thailand, 14 China, 10 Kemboja, 11 Indonesia, empat Filipina, lima Vietnam dan masing-masing enam Bangladesh dan Myanmar. – 15 Januari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen