Kerap lakukan hubungan seks lewatkan menopaus, kata kajian


Purata hubungan intim sekurang-kurangnya sekali seminggu melambatkan menopaus sebanyak 28% berbanding wanita yang kurang melakukan seks dalam sebulan. – Gambar EPA, 15 Januari, 2020.

WANITA hampir menopaus yang kerap melakukan hubungan seks akan melambatkan proses itu berbanding wanita dengan usia yang sama tetapi tidak aktif secara seksual, kata para penyelidik pada Rabu.

Purata hubungan intim sekurang-kurangnya sekali seminggu melambatkan menopaus sebanyak 28% berbanding wanita yang kurang melakukan seks dalam sebulan, lapornya dalam jurnal Royal Society Open Science.

Perbezaan itu menurut pengkaji, mencerminkan tindak balas badan terhadap tekanan evolusi.

“Sekiranya seorang wanita sedikit atau jarang melakukan hubungan seks ketika menghampiri pertengahan umur, maka tubuh tidak akan menerima isyarat fizikal kemungkinan kehamilan,” tulis Megan Arnot dan Ruth Mace, saintis di University College London.

Daripada meneruskan mengovum, menurut teori ini, “akan lebih baik - daripada perspektif memaksimumkan kecergasan - bagi wanita itu menghentikan kesuburan dan menggunakan tenaga kepada ahli keluarganya.”

Kajian terdahulu yang bertujuan untuk menjelaskan mengapa wanita sudah berkahwin mengalami menopaus lebih lewat berbanding wanita tidak berkahwin atau bercerai menunjukkan pengaruh pheromone lelaki, bahan kimia semula jadi dalam haiwan yang menarik jantina bertentangan.

Untuk mengetahui sama ada teori kukuh, Arnot dan Mace memeriksa data hampir 3,000 wanita di Amerika Syarikat yang direkrut pada 1996 dan 1997 untuk mengambil bahagian dalam kajian kesihatan berbilang dekad.

Dikenali sebagai SWAN, projek ini bertujuan mengumpul data dan mengesan perubahan - biologi dan psikologi - yang berlaku bersama menopaus.

Umur purata wanita yang dikaji adalah 46 tahun. Tiada yang menopaus, tetapi hanya kurang daripada separuh “perimenopause”, dengan gejala kecil mula muncul.

Dalam dekad berikutnya, 45% wanita mengalami menopaus semula jadi, pada usia purata 52 tahun.

Menurut kajian, hampir 78% daripada wanita telah berkahwin atau mempunyai hubungan dengan seorang lelaki, dan 68% tinggal dengan pasangan mereka.

Penyelidik mendapati kaitan antara kekerapan seks dan permulaan menopaus sememangnya jelas.

Semua hubungan yang dilaporkan adalah heteroseksual, jadi tidak diketahui sama ada aktiviti seks sesame jenis akan mempunyai kesan yang sama.

“Kami tidak menemui bukti hipotesis pheromone,” kata mereka.

Terdapat banyak variasi bagi usia menopaus secara semula jadi di seluruh budaya, tetapi faktor genetik hanya menyumbang kira-kira separuh daripada perbezaan tersebut, kajian terdahulu membuktikannya. – AFP, 15 Januari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen