SPRM lapor polis komplot jenayah ke atas Latheefa


Kalidevi Mogan Kumarappa

Komplot jahat ini bukan sahaja menyerang Latheefa Koya secara peribadi tetapi juga menjatuhkan kredibiliti SPRM, kata agensi antirasuah itu. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 14 Januari, 2020.

AGENSI antirasuah membuat laporan polis mengenai komplot jenayah melalui media sosial untuk menjejaskan imej dan reputasi ketua pesuruhjayanya, Latheefa Koya.

Seorang pegawai undang-undang agensi itu, Sasha Lyna Abdul Latiff berkata komplot jahat yang disebarkan melalui media sosial itu dijalankan beberapa peguam sejak 8 Januari lalu.

“Komplot jahat ini bukan sahaja menyerang Latheefa secara peribadi tetapi juga menjatuhkan kredibiliti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM),” katanya di Putrajaya, hari ini.

Jelasnya, ia berikutan pendedahan sembilan klip audio pada 8 Januari berkaitan kes rasuah, salah guna kuasa dan pengubahan wang membabitkan bekas perdana menteri Najib Razak.

Menurutnya, SPRM menyerahkan semua bahan bukti kepada polis dan tidak boleh mendedahkan individu yang mendalangi komplot itu.

Beliau yang ditemui pemberita di luar Ibu Pejabat Polis Putrajaya pagi ini berkata, komplot itu memang ada kaitan dengan pendedahan audio dalam sidang media minggu lalu.

“Kami serahkan kepada polis untuk menyiasat tohmahan ini. Kami tidak boleh dedahkan bentuk tohmahan itu,” katanya yang membuat laporan pada kira-kira jam 11 pagi ini.

Menurut sumber, tohmahan itu disebarkan sejak 10 Januari lalu melalui aplikasi WhatsApp di kalangan peguam melibatkan gambar memaparkan Latheefa.

“Gambar itu dihantar kepada Latheefa dan kakitangan SPRM oleh rakan peguam juga dan mereka berniat menjejaskan imej ketua agensi antirasuah itu,” kata sumber.

Sementara itu, Ketua Polis Putrajaya, Rosly Hassan ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan polis itu hari ini.

Rakaman perbualan yang didedahkan SPRM minggu lalu melibatkan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan SRC International Sdn Bhd (SRC).

Seramai 20 individu penting dalam kes berkenaan terbabit dalam perbualan atau disebut dalam sembilan rakaman sepanjang 45 minit itu.

Semua rakaman percakapan itu didakwa berlaku antara 5 Januari hingga 29 Julai 2016 dan diperoleh SPRM awal tahun ini daripada entiti tidak didedahkan.

Agensi itu menegaskan rakaman terbabit tulen, namun pendedahanya dipersoalkan peguam kerana media tersebut bukan bahan bukti perbicaraan. – 14 Januari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen