Penduduk Jakarta terjejas banjir saman gabenor


Hampir seluruh kawasan perumahan di Jakarta yang menempatkan 30 juta orang itu, tenggelam akibat banjir selepas hujan lebat bermula pada malam Tahun Baharu. – Gambar EPA, 14 Januari, 2020.

PENDUDUK Jakarta menyaman gabenor susulan banjir kilat selepas hujan lebat dan tanah runtuh yang menyebabkan berpuluh-puluh maut dan ribuan yang lain hilang tempat tinggal, kata peguam.

Lebih 200 mangsa banjir menuntut ganti rugi 43 bilion rupiah (AS$3 juta) dalam tindakan saman itu yang difailkan semalam di mahkamah daerah Jakarta.

Tuntutan itu meminta Gabenor Anies Baswedan bertanggungjawab kerana gagal menyediakan sistem amaran awal yang sempurna untuk ibu kota itu dan langkah kecemasan berkesan untuk meminimumkan kematian dan kerugian kewangan.

Biro undang-undang kota itu belum memberikan komen.

“Ini sepatutnya jadi pengajaran kepada kerajaan tempatan di tempat lain supaya lebih bersedia dalam mitigasi bencana,” kata peguam Alvon Kurnia Palma.

“Jika ini berlaku di Jakarta, di mana terletaknya kerajaan pusat, maka ia boleh berlaku di mana juga.”

Bencana itu menyebabkan kemusnahan sekurang-kurangnya AS$72 juta – kerosakan dan kerugian kewangan, menurut persatuan perniagaan Indonesia.

Keseluruhan kawasan perumahan di ibu kota yang menempatkan 30 juta orang itu – tenggelam dan menyebabkan puluhan ribu berpindah ke tempat perlindungan selepas hujan lebat bermula sejak malam Tahun Baharu.

Sekurang-kurangnya 67 di Jakarta dan bandar berhampiran terbunuh, apabila banjir mencecah hingga tingkat dua sebahagian bangunan selepas air sungai melimpah. – AFP, 14 Januari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen