DR Mahathir Mohamad sedia meletakkan jawatan perdana menteri serta merta kalau itu yang dikehendaki oleh Majlis Presiden Pakatan Harapan..
Beliau berkata, kedudukannya sebagai perdana menteri ditentukan oleh barisan pemimpin dalam gabungan parti itu.
“Kalau mereka mahu saya undur, saya sedia berundur sekarang… Perkara itu akan diputuskan oleh semua empat parti (komponen PH),” kata Dr Mahathir.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai tuntutan pemimpin PKR yang mahu beliau menyerahkan kuasa kepada Presiden PKR Anwar Ibrahim pada Mei, dan bukannya November.
Tuntutan itu disuarakan dalam forum menampilkan ahli Parlimen PKR – William Leong, Chang Lih Kang, Nik Nazmi Nik Ahmad dan Wong Chen.
Mereka antara lain menyatakan, penyerahan kuasa pada Mei amat penting untuk kelangsungan gabungan itu dalam pilihan raya umum akan datang.
Kalangan ahli Parlimen PKR ini juga menyatakan kekecewaan kerana berpendapat Dr Mahathir tidak dapat meningkatkan tahap ekonomi.
“Kami fikir Dr Mahathir mampu melonjak ekonomi tetapi ia tidak berlaku,” kata Wong Chen dalam forum bertajuk “Perlukan Malaysia tunggu hingga November untuk peralihan kuasa?” di Bangsar.
Disember lalu, Dr Mahathir mengulangi janjinya untuk menyerahkan kuasa kepada Anwar selepas sidang kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik.
Persidangan tersebut akan berlangsung di Kuala Lumpur pada November. – 14 Januari, 2020.
Komen