Bosankah dunia perbukuan sekarang?


Hadri Shah

PERBINCANGAN topik “Book Scene Boring” di acara Kecoh Fest bertempat di Gerak Budaya, Petaling Jaya kelmarin barangkali bakal menjadi “kegagalan” pertama pada tahun baru.

Hampir semua panel sepakat bahawasanya industri buku saat ini sedang bermuram. Antara puncanya ialah, banyak rumah penerbitan telah ditutup, kekurangan buku baharu di pasaran dan kurangnya pembaca matang.

Siapa antara kita yang sebenar-benarnya peduli?

Sekitar 2014 sehingga 2016, industri buku negara yang sebelum ini “suam-suam kuku” bergegar kerana kewujudan rumah penerbitan mandiri (indie). Mereka ini bukanlah kakitangan kerajaan melainkan orang-orang kecil yang berkongsi keghairahan yang sama; mahu melihat masyarakat kembali meramas buku dan menjadi bangsa yang berani kerana sikap membaca.

Di pejabat kecil, mereka menerbitkan jeritan-jeritan penulis muda anti idea jurasik. Tulisan mereka garang, angkuh dan berperisa perlawanan. Sayang sekali, kebanyakan karya mereka tersimpan di laman blog.

Penulis-penulis begini dipandang sinis rumah penerbitan arus perdana. Mereka tidak disukai kerana alasan leceh seperti tidak menepati tatabahasa yang betul, kurang sastera, kurang ajar dan memiliki standard bahasa yang porak peranda.

Namun, rumah penerbitan mandiri berani menongkah arus. Mereka menerbitkan tulisan penulis-penulis muda tanpa ragu.

Hasilnya? Pufff! Buku indie meletup-letup di pasaran. Penulisnya mula dikenali. Rumah penerbitan yang dibangunkan tanpa hierarki, tanpa perbincangan korporat dan tanpa sandaran modal orang politik mencipta fenomena baharu. Anak muda dan ahli masyarakat tuntas menyambut gagasan pop terkini.

Mereka kembali meramas buku, mereview tulisan pujaan hati di lapangan media sosial, membedah buku-buku indie dan sentiasa tertunggu-tunggu karya terbaru untuk menenteramkan nafsu membaca. Ternyata, industri buku ketika itu cukup “cool” popular dan bersifat budaya tanding.

Bagaimanapun, suasana itu tidak bertahan. Bermula 2017, jualan buku merosot. Seolah-olah hilang pedoman hidup, rumah penerbitan mengalami krisis. Pembaca berkurang. Sinar ego memudar. Buku dijual murah. Sayang sekali gagal meraih simpati. Kepopularan industri buku indie dan penerbitan arus perdana langsung ditelan lohong gelap.

Anehnya, dalam diam-diam kita berbangga dengan pertabalan Kuala Lumpur sebagai Kota Buku Dunia 2020. Lucunya ketika banyak rumah penerbitan bungkus, penulis terkial-kial mencari ruang menerbitkan karya dan ada yang karya masih diharamkan serta masyarakat yang lebih gemar membaca dan berkongsi berita palsu di Whatsapp, kita diberkati prestij besar sebegitu. Apakah Tuhan mengampunkan dosa besar kita terhadap buku ?

Salah seorang panelis, Khair Zawawi, penggerak laman Writers Daily, menegaskan industri ini tidak lagi boleh mengharapkan sokongan daripada komuniti buku saja. Dia menawarkan idea supaya komuniti buku mesti berkongsi platform dengan komuniti muzik, misalnya. Bagi beliau, dengan pendekatan begini, jaringan antara dua industri ini dapat ditumbuhkan. Antara komuniti muzik dan buku sama-sama akan menikmati faedah.

Manakala bagi penerbit Iman Publications dan Rabak-Lit, Fatin dan Izzat kedua-duanya bersetuju untuk mengidentifikasikan formula bagaimana untuk memikat hati kelompok pembaca terbaru. Konsep penerbitan bersama-sama idea dan pendekatan terkini mesti diambil kira sebagai jalan mempromosi, memperkembangkan industri buku.

Bagi aku, sebagai seorang penulis yang dijemput ke diskusi tersebut, kejujuran menghasilkan karya adalah perkara paling utama.

Kita tidak perlu tertanya-tanya apakah kita layak dianugerahi sebagai Kota Buku Dunia, sedangkan perkara terpenting seperti kejujuran mempromosi hasil tulisan penulis, keberanian menerbitkan tulisan yang lain daripada lain, keghairahan menerbitkan karya yang pelbagai serta menyediakan ruang-ruang merayakan acara buku mesti menjadi wacana utama dalam mengubah cuaca industri yang semakin kelam.

Anugerah tidak semestinya menjadi penanda ukur kemajuan dan kejayaan. Apalah gunanya anugerah dan pengiktirafan sekiranya kita tahu yang kita hanya berpura-pura? Industri buku indie pasca 2014/15 menggegar Malaysia bukan kerana modal bisnes yang menggila, tetapi kerana keyakinan akan sebuah impian klasik memecahkan dinding kosong yang tidak berguna.

Kita juga memerlukan pembaca yang bijak dan matang. Pembaca yang bijak dan matang bukanlah kategori pak turut dan kaki membuat aduan kepada KDN. Tidak! Mereka ini golongan pengkritik yang berupaya membuat keputusan sendiri samada karya yang mereka baca itu bagus atau tidak. Kritikan organik seperti itulah yang akan menyuburkan survival industri buku.

Kita semua sudah berjaya melalui zaman mencium kemeriahan industri buku walau sekejap. Daripada penerbit, editor, pembaca pruf, desainer, penulis dan pembaca – semuanya pernah melalui zaman emas yang pernah suatu ketika dahulu dianggap skema, berat dan tabiat yang membosankan.

Industri ini perlu bersinar semula dari hujung kaki langit. Bukan kerana untuk memenuhi pengiktirafan sebagi Kota Buku Dunia atau sebab-sebab memualkan lain, melainkan kerana sikap untuk mencipta sebuah bangsa yang berkeyakinan tinggi, bebas, mandiri dan tidak mudah ditipu.

Kecemerlangan industri buku tidak boleh diserahkan kepada CEO Kota Buku seorang. Kerja menyelamatkan dunia perbukuan terletak pada semua – rumah penerbitan, penulis, editor, pembaca pruf, pembikin acara dan masyarakat.

Sekiranya kita degil dan masih mahu mempertahankan kebodohan, maka perbincangan kelmarin yang dilatari mentol-mentol yang menguning hanya akan kekal sebagai sebuah gambar dimuat naik di Instagram dengan jumlah “like” yang menjelikkan.

Eloklah saat ini, kita semua membuang sikap perasan bagus, rasa paling hebat, kesombongan dan strategi lapuk mengharapkan orang-orang tua di kementerian untuk menyelamatkan masa depan yang di dalamnya ada generasi kita sendiri.

Memetik kata-kata sakti penggerak Studio Anai-Anai: “Dengan Indie, Kita Akan Berjaya!” – 14 Januari, 2020.

* Hadri Shah, penulis buku Nasionalisme Longkang, merupakan seorang penggemar laksa dan kopi buatan pari pari dari kayangan. Hari-harinya dibazirkan dengan memerhati manusia dan selfie stick mereka di KLCC dan kemudian menulis tentang dunia di dalam tren. Pada subuh hari minggu, Hadri Shah bersama-sama buburborjuis berkongsi sarapan dengan teman-teman di Kuala Lumpur.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen