DI media sosial, Tai Zee How terkenal sebagai pengulas politik yang bercakap tentang isu berkenaan masyarakat Cina di negara ini menggunakan Bahasa Melayu.
Dikenali dengan panggilan “Apek Cina”, Tai berpendapat beliau menemui cara untuk orang Melayu lebih memahami perasaan dan pemikiran orang Cina.
“Saya mahu menjadi personaliti yang dapat menarik minat khalayak Melayu, jadi saya pilih untuk berfikir di luar kotak,” kata Tai yang berusia awal 30-an kepada The Malaysian Insight.
“Saya mahu kaum lain tahu apa yang akhbar Cina laporkan, bagaimana berita dilaporkan, dan ini akan memberi mereka pemahaman asas mengenai masyarakat Cina.”
Tai yang pernah menjadi pembantu kepada seorang bekas menteri, mula mengulas tentang politik pada 2018. Video-video kupasan beliau boleh ditonton melalui akaun Facebook “Ulasan Apek Cina” yang diikuti seramai 200,000 orang, selain di YouTube.
Pada awalnya beliau mengupas berita tempatan Cina yang diterjemah ke dalam Bahasa Melayu, yang diselitkan dengan sindiran.
Kupasan Tai berkisar tentang isu hangat di Malaysia meliputi isu politik dan isu berkenaan sensitiviti masyarakat berbilang kaum seperti kontroversi pengajaran tulisan Jawi di sekolah vernakular.
Beliau juga pernah menemuramah bekas perdana menteri Najib Razak dan Presiden MCA Wee Ka Siong dalam videonya.
Menurut Tai, ramai orang beranggapan beliau menyokong pembangkang.
“Saya seorang pengulas bebas. Sindiran hanya menjadi apabila kerajaan menjadi sasaran. Mungkin akan memakan diri sendiri kalau gunakan terhadap pembangkang,” katanya sambil menegaskan beliau tidak pernah menyertai mana-mana parti politik.
“Kalau ada perubahan kerajaan, saya akan sasarkan kerajaan baharu.”
Tambah Tai, beliau ada menjemput beberapa pemimpin kerajaan Pakatan Harapan untuk ditemubual tetapi tidak menerima sebarang maklum balas.
Merapatkan jurang, memupuk perpaduan
Tai berharap setiap kupasannya dapat membantu rakyat Malaysia saling memahami antara satu sama lain dengan lebih baik.
Sebagai orang Cina yang membincangkan isu kontroversi seperti boikot barangan buatan bukan Islam dan pengajaran tulisan Jawi menggunakan Bahasa Melayu, Tai berharap lebih ramai orang Melayu akan mengikuti rancangan ulasannya supaya dapat memahami isu-isu ini dari pandangan masyarakat Cina serta mencari jalan tengah.
“Sebagai orang Cina saya tak rasa masyarakat Cina perlukan saya sebagai jambatan komunikasi, tetapi ada juga kaum lain yang mahu memahami kami. Jadi, saya berharap saya dapat jadi pembuka jalan bagi mereka,” katanya. – 14 Januari, 2020.
Berita penuh di sini.
Komen