Satu lagi harta Jho Low akan dirampas, kata KPN 


Alfian Z.M. Tahir

Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador ketika bercakap pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman hari ini.– Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 13 Januari, 2020.

POLIS akan merampas hartanah bernilai jutaan ringgit yang dimiliki oleh ahli perniagaan dikehendaki Low Taek Jho dan keluarganya, kata Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador hari ini.

Beliau berkata, aset baru itu yang merupakan sebuah rumah, ditemui baru-baru ini dan akan dirampas pihak berkuasa tidak lama lagi.

“Kita menemui aset terbaharu milik keluarga perompak ini. Rumah bernilai jutaan ringgit ini berada dalam negara,” kata Hamid pada sidang media.

Beliau turut mengulangi kenyataan polis masih berusaha untuk membawa Jho Low kembali ke Malaysia bagi menghadapi pertuduhan pengubahan wang haram. Ahli perniagaan dari Pulau Pinang itu didakwa menjadi dalang skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Hamid, tahun lalu pernah menyatakan akan membawa Low kembali ke Malaysia pada akhir 2019, hari ini mengakui beliau gagal kerana “kekangan” yang dihadapi pihak polis.

Dalam kenyataan ringkas sebelum ini, beliau berkata pihaknya kurang mendapat kerjasama daripada negara yang Low dipercayai berada.

“Terdapat banyak halangan. Beberapa pihak menghalang kami daripada mendapatkannya. Saya telah berusaha sedaya upaya namun saya gagal tunaikan janji untuk tangkap beliau.

“Namun kita tidak putus harapan. Kita akan bawa beliau pulang,” kata Hamid.

Menurutnya, Low akan mendapat perbicaraan yang adil dan keselamatannya akan dijamin.

“Saya secara peribadi akan beri jaminan beliau akan selamat di sini. Jika beliau tidak lakukan kesalahan tolong pulang. Tiada apa yang perlu kamu takutkan,” kata Hamid.– 13 Januari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen