PENYERANG yang membunuh lapan orang dalam serangan menggunakan trak di New York pada Selasa lalu adalah “tentera” Kumpulan Negara Islam Syria dan Iraq (IS), kata militan itu pada Khamis, menurut kumpulan pemantau berpangkalan di AS.
“Salah seorang tentera Negara Islam menyerang beberapa orang kafir di jalan New York,” kata akhbar mingguan pengganas itu, al-Naba, menurut Kumpulan Perisikan SITE.
Sayfullo Saipov, 29, imigran dari Uzbekistan didakwa melakukan keganasan selepas memandu trak sewa dan melanggar orang awam di laluan berbasikal di Manhattan.
Dokumen pendakwaan mengatakan dia mengaku bertindak atas nama IS dan “merasa hebat atas apa yang dilakukan,” malah menuntut untuk mengibarkan bendera IS di bilik hospitalnya.
Polis mengatakan dia mengikuti secara dekat “arahan” yang dikeluarkan IS kepada pengikutnya di media sosial.
Dia didakwa memiliki tiga pisau, ribuan imej propaganda IS dan berdozen video menunjukkan IS membunuh banduan.
Saipov hanya menjadi radikal setelah memasuki AS pada 2010.
Sebelum ini, lelaki yang menembak mati 58 orang di Las Vegas bulan lepas juga didakwa IS sebagai “tenteranya” tetapi FBI tidak menemui bukti mengaitkan kumpulan pengganas itu dengan tertuduh, Stephen Paddock. – AFP, 3 November, 2017.
Komen