Arab Saudi tarik buku dianggap ‘tak senonoh’ dari pasaran


“Thursday’s Visitors” adalah buku fiksi Arab ditulis oleh kolumnis dan penulis terkenal, Badriyah al-Bishr yang seringkali menulis tentang kesukaran hidup wanita di Arab Saudi.– Gambar AFP, 3 November, 2017.

PIHAK berkuasa Arab Saudi pada Khamis menarik balik novel seorang penulis terkenal daripada dijual di kedai buku selepas pembaca mengatakan kandungannya mengandungi unsur lucah, seterusnya mencetuskan kontroversi di negara ultra konservatif itu.

“Thursday’s Visitors” adalah buku fiksi Arab ditulis oleh kolumnis dan penulis terkenal, Badriyah al-Bishr yang seringkali menulis tentang kesukaran hidup wanita di Arab Saudi.

“Kementerian Kebudayaan dan Maklumat sudah menarik balik buku ‘Thursday’s Visitor’…dan sedang menyiasat perkara ini,” kata seorang jurucakap kementerian.

Buku itu mengisahkan perjalanan mencari diri seorang gadis melalui pertemuan bersama wanita lain setiap Khamis, berkongsi suka duka kehidupan mereka.

Tetapi sesetengah kandungan dianggap lucah.

“Bagaimana buku dengan kandungan seperti ini dijual di bahagian buku kanak-kanak,” tulis seorang rakyat Saudi di Twitter kepada Jarir, rangkaian kedai buku terkenal negara itu.

“Saya tak periksa sebelum beli, tapi kesilapan anda lebih buruk.”

Membalas tweet itu, Jarir menulis: “Kami setuju dengan anda. Semua naskah sudah ditarik daripada jualan. Kami berterima kasih kerana pemerhatian anda.”

Bishr masih tidak mengeluarkan kenyataan balas.

Buku, majalah dan jurnal seringkali ditapis di Arab Saudi menggunakan alasan kandungan dianggap tidak Islamik.

Seks, agama dan politik seringkali menjadi isu sensitif di negara konservatif itu, yang mempunyai sekatan paling ketat terhadap wanita. – AFP, 3 November, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen