LANGSUNG: Hari kelima siasatan Suhakam ke atas kehilangan Pastor Koh


Noel Achariam

Mah Weng Kwai melawat lokasi kejadian penculikan Pastor Raymond Koh berlaku di Petaling Jaya, Selangor, hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 3 November, 2017.

SIASATAN kehilangan Pastor Raymond Koh dan tiga yang lain yang dijalankan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) bersambung hari ini dengan pegawai polis yang bertanggungjawab menguruskan kes menyambung keterangan.

Timbalan Pesuruhjaya Supari Muhammad yang merupakan saksi kelima memberitahu panel siasatan semalam yang keluarga Koh tidak bekerjasama dalam siasatan polis berhubung kehilangan paderi itu.

Katanya, ahli keluarga Koh tidak banyak membantu dan mereka tidak mahu menjawab soalan mengenai dakwaan yang pastor yang hilang itu terlibat dalam kegiatan memurtadkan orang serta aktiviti-aktiviti lain sebelum kehilangannya.

Supari memberitahu panel siasatan dia bertanyakan soalan isu murtad itu kerana dia mahu mengecilkan skop siasatan, menambah yang polis menyiasat kes itu daripada semua sudut.

Siasatan itu dijalankan bagi menentukan sama ada kes kehilangan Koh, Pastor Joshua Hilmy dan isteri Ruth, serta aktivis sosial Amri Che Mat adalah kehilangan paksa melibatkan pihak berkuasa.

Seorang lagi saksi yang memberi keterangan semalam ialah Inspektor Ali Asrar, saksi keempat yang mulanya enggan menyerahkan Diari Siasatan kes Koh kepada panel.

Katanya polis perlu mendapatkan kelulusan Pejabat Peguam Negara (AGC) sebelum menyerahkan diari itu.

Pesuruhjaya Suhakam Mah Weng Kwai enggan menerima penjelasan itu dan berkata sekiranya polis menggunakan alasan itu setiap kali panel meminta bahan berkaitan kes sebagai bukti, panel siasatan lebih baik “berkemas dan pulang sahaja”.

Mah kemudian mengarahkan pegawai penyiasat mengambil diari itu daripada Ali yang menyerahkannya.

Panel siasatan itu dipengerusikan oleh Mah dan pesuruhjaya lain dalam panel ialah Aishah Bidin dan Dr Nik Salida Suhaila Nik Saleh.

The Malaysian Insight melaporkan prosiding hari ini secara langsung:

4.35pm: Mah kemudian meminta untuk melihat beberapa buah rumah di mana CCTV berkenaan berada bagi mengukur jarak.

Dia kemudian melawat rumah bernombor 72 dan 19 untuk melihat lokasi CCTV.

Mah kemudian menyaksikan rakaman CCTV di telefon bimbit untuk melihat bagaimana peristiwa itu berlaku.

Beliau kemudian memaklumkan kepada hadirin yang siasatan itu akan disambung semula pada 13 November.

4.20pm: Anak perempuan Koh, Ester menjelaskan kepada ahli panel dan peguam kedudukan CCTV yang merakam penculikan pastor.

Supari kemudian menunjukkan lokasi serpihan kaca yang dijumpai dan berkata turut menemui plat nombor yang patah.

Supari menunjukkan ke kawasan yang terletak bertentangan sebuah rumah di mana CCTV itu terletak.

4.10pm: Lebih daripada 20 terdiri daripada pesuruhjaya, peguam, media dan keluarga Koh tiba di tempat kajadian penculikan Koh.

Polis meletakkan beberapa pegawai untuk mengawasi lalu lintas di kawasan tersebut.

Kenderaan awam yang berulang-alik turut bergerak perlahan untuk melihat apa yang sedang berlaku.

3.15pm: Peguam keluarga Koh menanyakan Supari apa yang dia lakukan di utara pada April.

Supari menjawab dia ke Perlis untuk menyiasat sekiranya Koh memurtadkan orang.

“Saya tak ingat bila saya pergi. Ada belia melaporkan Koh cuba memurtadkan mereka.”

Peguam Koh kemudian bertanya, tidakkah pelik laporan itu dibuat beberapa bulan selepas Koh hilang.

Supari bersetuju yang ianya pelik laporan itu dibuat beberapa bulan selepas kehilangan Koh.

2.45pm: Peguam keluarga Koh bertanya kepada Supari jika dia menyoal anak-anak Komuniti Harapan mengenai sama ada Koh memurtadkan orang.

Supari berkata ia adalah salah satu soalan yang ditanya pegawai-pegawai polis.

“Saya tidak kendalikan soal jawab itu, pegawai-pegawai saya yang lakukan.

Peguam juga bertanya jika fokus siasatan di Komuniti Harapan adalah murtad.

Supari bersetuju dan berkata ia adalah salah satu fokus mereka.

2.30pm: Peguam keluarga Koh bertanya kepada Supari adakah dia tahu tentang laporan yang dibuat Koh selepas menerima sepucuk surat dan dua biji peluru pada 2011 selepas insiden DUMC.

Supari berkata dia telah melihat laporan itu.

“Kami menyiasat laporan tetapi tiada petunjuk.”

Peguam kemudian bertanya, selepas melihat laporan itu, siapakah yang telah mengugut Koh.

Supari menjawab, ia adalah orang-orang Islam yang tidak suka dengan tindakan Koh.

12.45pm: Siasatan berhenti rehat untuk solat Jumaat dan akan bersambung pada jam 2.15.

12.20pm: Peguam keluarga Koh menyoal Supari jika penculikan itu dilakukan secara profesional dan mengapa beberapa individu yang terlibat memakai topeng.

Supari menjawab jika ianya operasi polis, ia akan dirancang lebih baik.

“Polis tidak akan membahayakan orang awam dengan membuat operasi di jalan yang sibuk.

“Kami perlu ambil kira keselamatan orang awam.”

Supari tidak menjawab soalan berkenaan topeng.

Panel siasatan itu dipengerusikan oleh Mah Weng Kwai dan pesuruhjaya lain dalam panel ialah Aishah Bidin dan Dr Nik Salida Suhaila Nik Saleh sedang menyiasat kehilangan Pastor Koh dan tiga yang lain bagi menentukan sama ada kehilangan mereka kerana tindakan pihak berkuasa. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 November, 2017.

12.05pm: Peguam keluarga Koh bertanya kepada Supari berapa rakaman CCTV yang polis ada, Supari menjawab enam.

Peguam kemudian bertanya mengapa dia taidak dapatkan kesemua rakaman CCTV.

Supari menjawab dia bukan “Superman” dan tidak boleh buat semua benda.

“Saya juga perlu bergantung kepada pasukan petugas saya untuk kumpul bukti.”

Peguam berkata kempat-empat rakaman adalah bukti yang amat penting dan bolehkah dia serahkan kepada siasatan, Supari menjawab tidak boleh.

11.45am: Peguam keluarga Koh bertanya kepada Supari, ada lima kamera di sepanjang laluan Koh dan berapa yang sudah ditonton.

Supari berkata hanya satu rakaman dari satu kamera ditonton.

Peguam kemudian bertanya kenapa kesemua kamera tidak ditonton, Supari menjawab ia tugas pasukan petugasnya.

“Saya ada melihat rakaman dari satu kamera tetapi tak menemui apa-apa yang luar biasa. Ia juga tidak jelas.

11.30am: Peguam keluarga Koh bertanya kepada Supari sama ada dia tahu terdapat CCTV di sepanjang laluan yang Koh ambil dari rumahnya di Prima 16 ke Puncak Damansara dan kemudian ke Jalan SS4B/10 di mana Koh diculik.

Supari setuju terdapat kamera di sepanjang laluan yang Koh ambil.

Peguam kemudian bertanya jika Supari mendapat rakaman CCTV dan dia menjawab dia ada rakaman tersebut.

Kata Supari dia tidak boleh menunjukkan rakaman itu kepada panel (Kerana ianya dalam siasatan).

“Saya sudah menonton rakaman dan ia tidak jelas.”

Peguam berkata jika Supari tidak mahu menunjukkan bukti, jadi tidak guna siasatan ini diadakan.

11.15am: Peguam keluarga Koh bertanya kepada Supari, bukankah mereka sepatutnya dapatkan rakaman CCTV di tempat kejadian sebagai bukti utama.

Supari berkata polis telah ke tempat kejadian tetapi hanya menemui kamera palsu.

“Saya mengarahkan pegawai-pegawai ke tempat kejadian. Ada kamera dis itu tetapi pemiliknya tiada. Pada 15 Februari saya dimaklumkan ada rakaman CCTV.

11.05am: Siasatan berhenti rehat selama 10 minit.

10.45am: Peguam keluarga Koh yang meminta lakaran dan video berkata polis tidak memberi kerjasama.

Pemerhati polis berkata bukan mereka tidak boleh beri kerjasama, tetapi mereka terikat bahawa dokumen-dokumen itu adalah rahsia.

10.30am: Peguam keluarga Koh sekali lagi meminta Supari sekiranya mereka boleh melihat lakaran dan gambar tempat jenayah berlaku, yang dibalasnya mereka perlu meminta keizinan Jabatan Peguam Negara.

Pemerhati polis memberitahu panel supaya menghantar permohonan rasmi kepada AGC bagi melihat bahan bukti.

Pesuruhjaya Mah berkata panel tidak boleh memohon kepada AGC tetapi pegawai Suhakam boleh membuat permohonan itu.

“Siasatan ini diadakan untuk mencari jawapan. Saya ingat polis sudah berunding dengan ACG sebelum datang.”

Mah kemudian berkata yang panel, saksi dan peguam akan melawat tempat kejadian di SS4B/10 selepas solat Jumaat.

9.45am: Teh selesai memberi keterangan dan panel memanggil ASP Supari Mohammad.

9.30am: Suhakam memanggil Teh yang merupakan pemilik kereta dipandu Koh semasa hilang.

Teh memberitahu panel yang Honda Accord itu dipinjamkan kepada Koh sejak 2008.

“Sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat, kami pinjamkan kereta kepada Koh.

“Kami ada sejumlah kereta yang dipinjamkan kepada organisasi lain.

“Saya kenal dia sejak tahun 80-an lagi.”

Pegawai Suhakam bertanya kepada Teh bilakah kali terakhir dia berjumpa Koh, katanya dia tidak ingat.

9.10am: Hari kelima siasatan awam kehilangan Pastor Koh bermula. Panel memanggil pemilik perniagaan Albert Teh Chuan Seng. – 3 November, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen