Wanita parah ditikam 10 kali dalam lif


SEORANG wanita cedera parah akibat ditikam 10 kali ketika disamun seorang jirannya, dalam kejadian dalam sebuah lif di Flat Taman Sri Damai, Jelutong, di George Town pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Timur Laut Soffian Santong berkata, kejadian kira-kira 11.16 malam itu berlaku ketika mangsa berusia 20 tahun berseorangan di dalam lif untuk pulang ke rumahnya, sebelum lif tersebut dimasuki seorang lelaki bertopeng.

“Sebaik pintu lif ditutup, lelaki itu terus menyerang wanita itu dan menikam di bahagian belakang mangsa bertubi-tubi menggunakan sebilah pisau, sebelum menyamun dompet serta telefon bimbit mangsa sebelum melarikan diri.

Wanita yang cedera parah itu kemudiannya mendapatkan bantuan ahli keluarga, sebelum dihantar ke Hospital Pulau Pinang(HPP) untuk rawatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan di George Town hari ini.

Katanya mangsa yang tidak bekerja itu kerugian kira-kira RM500 selepas telefon bimbit jenis Huawei 2i dan wang tunai sebanyak RM100 dalam dompetnya disamun suspek, selain kehilangan dokumen pengenalan diri.

Soffian berkata bertindak atas maklumat pihaknya menahan seorang suspek berusia 26 tahun yang juga merupakan jiran mangsa dan selepas diperiksa, lelaki yang tidak bekerja itu di positif dadah serta mempunyai rekod lampau berkaitan dadah.

“Lelaki itu kini direman sehingga 15 Januari dan kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan iaitu samun mendatangkan kecederaan parah dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara hingga 20 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebatan.

Soffian berkata wanita itu masih menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang namun dilaporkan di dalam keadaan stabil. – Bernama, 12 Januari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen