Pesawat supersonik AS adakan latihan bersama Jepun, Korea Selatan


Dua pesawat supersonik B-1B berlepas dari Pangkalan Tentera Udara Andersen di Guam, kemudian terbang ke selatan Korea Selatan dan barat Jepun untuk menyertai pesawat Pasukan Pertahanan Diri Udara Jepun, kata Tentera Udara Pasifik AS dalam satu kenyataan. – Gambar AFP, 3 November, 2017.

PESAWAT pejuang AS bersama-sama pesawat tempur Jepun dan Korea Selatan terbang bersama dalam misi di Korea Selatan pada Khamis ketika ketegangan rantau itu semakin memuncak, kata Tentera Udara AS.

Dua pesawat supersonik B-1B berlepas dari Pangkalan Tentera Udara Andersen di Guam, kemudian terbang ke selatan Korea Selatan dan barat Jepun untuk menyertai pesawat Pasukan Pertahanan Diri Udara Jepun, kata Tentera Udara Pasifik AS dalam satu kenyataan.

“Lancer terbang melintasi Korea untuk bersama-sama pejuang Republik Korea di Laut Kuning,” kata kenyataan itu menambah yang pesawat itu kemudiannya kembali ke “pangkalan masing-masing.”

Kenyataan itu turut menyebut yang latihan itu adalah sebahagian daripada misi “kewujudan berterusan pesawat” di Pasifik dan sudah dirancang lebih awal.

Ia “bukanlah tindak balas kepada mana-mana situasi semasa,” kata kenyataan itu.

Walaupun begitu, operasi itu berlaku selepas “pertunjukan udara” pada 10 Oktober yang menyaksikan dua pesawat Lancer menjalani latihan penerbangan malam bersama pesawat Jepun dan Korea Selatan.

Ketegangan masih lagi memuncak di Semenanjung Korea dan Pyongyang dikatakan sedang bersedia menjalankan satu lagi ujian peluru berpandu, kata agensi perisikan Korea Selatan pada Khamis.

Julai lalu, Korea Utara melancarkan dua peluru berpandu rentas benua yang mampu mencapai AS- disifatkan pemimpin Kim Jong-Un sebagai “hadiah kepada Amerika jahanam”.

Ia diikuti pula dengan dua peluru berpandu yang melintasi Jepun serta ujian nuklear keenamnya.

Presiden AS Donald Trump yang memberikan amaran bahawa tindak balas akan dilakukan kepada ugutan Korea Utara, memulakan lawatan ke Asia pada Jumaat termasuklah lawatan ke Korea Selatan. Lawatan itu dikatakan akan didominasi perbincangan tentang isu nuklear Korea Utara. – AFP, 3 November, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen