PROGRAM penghantaran pulang seperti Back For Good (B4G) tidak akan menyelesaikan masalah kebanjiran warga asing tanpa izin untuk tempoh jangka panjang, kata aktivis NGO hak asasi manusia.
Pengerusi Yayasan Keprihatinan Komuniti Malaysia (MCCF) Halim Ishak berkata banyak program seumpamanya yang dijalankan sebelum ini didapati hanya menguntungkan pihak tertentu.
Oleh itu, kerajaan perlu menjalankan usaha lebih berkesan untuk menangani masalah kebanjiran warga asing ini secara menyeluruh, katanya kepada The Malaysian Insight.
Tambahnya, kerajaan perlu melihat data kajian MCCF sejak 2015 berhubung masalah itu, yang menurutnya sudahpun dikemukakan kepada Kementerian Dalam Negeri.
“MCCF berharap kertas cadangan yang telah diberikan kepada pihak kerajaan melalui Kementerian Dalam Negeri akan dapat dipertimbangkan,” katanya.
Kajian itu melibatkan data hampir 42,000 warga asing yang diserahkan kepada pihak PDRM untuk saringan jenayah serta penganas.
Pertubuhan itu antara lain menyediakan bantuan guaman kepada pekerja asing untuk membawa pulang mangsa pemerdagangan orang dan jasad pendatang tanpa dokumen.
Melalui program B4G, Jabatan Imigresen menghantar pulang lebih 180,000 pendatang tanpa dokumen bermula 1 Ogos sehingga 31 Disember tahun lalu.
Sebelum itu, kerajaan menjalankan program pengambilan semula pekerja tanpa dokumen pada 2016, yang dijalankan MyEG Services Sdn Bhd, Iman Resources Sdn Bhd dan Bukti Megah Sdn Bhd.

Seorang lagi aktivis hak asasi pekerja asing, Adrian Pereira berkata masalah utama yang menyumbang kepada isu itu adalah proses pengambilan tenaga kerja asing itu sendiri.
Pengarah Inisiatif Utara-Selatan itu memetik data Jabatan Perangkaan yang menyebut terdapat hampir 2,060,000 orang pekerja asing berkhidmat dalam enam sektor setakat 31 Mei tahun lalu.
Mereka terdiri daripada pekerja Indonesia, Bangladesh, Nepal, Myanmar, India, Pakistan, Filipina, Vietnam, Thailand, China, Sri Lanka, Cambodia dan Laos.
Pekerja sektor pembuatan, pembinaan, perladangan, perkhidmatan, pertanian dan pembantu rumah ini merupakan pemegang Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS).
Pas ini dikeluarkan Jabatan Imigresen Malaysia dan terikat kepada majikan tertentu mengikut sektor.
Jelas Pereira, Kementerian Sumber Manusia bertanggungjawab ke atas dasar melibatkan pekerja asing manakala Kementerian Dalam Neeri pula ke atas pengeluaran permit kerja dan hal imigresen lain.
Katanya Menteri Sumber Manusia M Kulasegaran juga pernah mengadu mengenai masalah bidang kuasa itu kerana walaupun permohonan dibuat melalui kementerian itu, kelulusannya di tangan Kementerian Dalam Negeri.
Katanya, beliau tidak ingin mempersoal kerjasama kedua-dua kementerian tersebut, namun NGO itu percaya terdapat masalah timbul apabila timbul pertikaian di antara majikan dan ejen tenaga kerja.
“Peranan kedua-dua kementerian yang tidak berpadananan serta proses birokrasi yang tidak berkesan meletakkan pekerja asing dalam keadaan berbahaya,” katanya.

Perkara itu selanjutnya meningkatkan kebarangkalian untuk pekerja asing itu dianggap sebagai pendatang haram, jelas Pereira.
Ini kerana, apabila timbul pertikaian, majikan berhak membatalkan permit pekerja melalui Jabatan Imigresen untuk membolehkan pekerja tersebut dihantar pulang.
Majikan itu hanya perlu memaklumkan perkara itu kepada Jabatan Tenaga Kerja dan dalam tempoh beberapa minggu sahaja permit pekerjaan itu akan dibatalkan, katanya.
“Jabatan Imigresen tidak diwajibkan menyemak dengan Jabatan Tenaga Kerja mengenai sebarang pertikaian sebelum pekerja itu dihantar pulang,” katanya.
Menurut Pereira, masalah pengurusan pekerja asing inilah yang diambil kesempatan oleh majikan dan ejen buruh sejak sekian lama.
Individu tersebut hanya akan lari dan mendapatkan pekerjaan daripada majikan atau ejen lain, kerana tidak berpeluang langsung untuk menyelesaikan pertikaiannya, kata beliau.
Trend dan kitaran yang berlarutan sejak dua dekad lalu itulah yang membawa kepada kebanjiran pekerja asing berjumlah kira-kira 5 juta orang pada masa ini.
Pereira juga mendakwa terdapat masalah lain dalam proses pengambilan pekerja itu yang diambil kesempatan oleh majikan palsu.
Jelasnya, majikan palsu ini merupakan rakyat Malaysia yang menerima bayaran tinggi agar nama dan kad pengenalan digunakan untuk permit membawa masuk pekerja asing.
Ini menyebabkan pekerja asing tersebut lebih mudah dieksploitasi dan dipindahkan dari satu ejen ke ejen lain merentasi pelbagai sektor, katanya.
Ia antara lain menyebabkan pekerja tidak dibayar gaji, dipaksa kerja lebih masa dan tidak mendapat cuti bergaji, katanya. – 12 Januari, 2020.
Komen