Timbalan perdana menteri ucap takziah kepada keluarga diraja Oman


Dr Wan Azizah berkata semasa pemerintahan baginda selama lebih lima dekad, Sultan Qaboos berjaya membawa keluar Oman daripada kemiskinan dengan pelbagai projek pembangunan serta pembinaan intrastruktur termasuk jalan raya, hospital dan sekolah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 Januari, 2020.

TIMBALAN Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga pemerintah Oman, Sultan Qaboos bin Said Al Said yang mangkat pada Jumaat.

“Saya amat sedih menerima berita kemangkatan Sultan Qaboos bin Said Al Said daripada Kesultanan Oman,” katanya menerusi laman Facebooknya hari ini.

Menurut laporan media, Sultan Qaboos mangkat pada usia 79 tahun selepas sakit sejak sekian lama.

Baginda memerintah Oman sejak tahun 1970 dan merupakan raja paling lama memerintah dalam kalangan pemerintah Arab terkini.

Dr Wan Azizah berkata semasa pemerintahan baginda selama lebih lima dekad, Sultan Qaboos berjaya membawa keluar Oman daripada kemiskinan dengan pelbagai projek pembangunan serta pembinaan intrastruktur termasuk jalan raya, hospital dan sekolah.

Dr Wan Azizah berkata usaha yang dilakukan baginda sangat berjaya sehingga pada 2010, Oman menduduki tangga pertama dunia dalam kemajuan Indeks Pembangunan Manusia sejak 40 tahun lepas.

Timbalan Perdana Menteri berkata baginda juga dikenali kerana memperjuangkan dasar luar yang bebas dan berkecuali, memainkan peranan penting dalam rundingan damai dengan negara-negara yang berada dalam konflik dan sering kali beroleh kejayaan.

“Semoga Allah merahmati roh baginda dan ditempatkan di syurga. Takziah kepada keluarga diraja dan rakyat Oman.

“Doa saya mengiringi mereka pada saat yang sukar ini,” kata Dr Wan Azizah. – Bernama, 11 Januari, 2020. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen