Peralihan kuasa perlu secara aman dan tenteram, kata Anwar


Alfian Z.M. Tahir

Anwar Ibrahim mengulangi pendiriannya untuk menyokong pentadbiran Dr Mahathir. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 11 Januari, 2020.

PRESIDEN PKR Anwar Ibrahim menolak gesaan naib presidennya, Rafizi Ramli yang mahu Dr Mahathir Mohamad meletak jawatan dan menyerahkan jawatan  perdana menteri secepat mungkin atau dipaksa berbuat demikian.

Anwar berkata tiada keperluan untuk mencetuskan kekecohan dalam peralihan kuasa itu.

“Saya menghargai kebimbangan beliau (Rafizi) tetapi saya perlu ulangi bahawa amat penting untuk memberi sokongan kepada pentadbiran Dr Mahathir dan peralihan kuasa perlu berjalan secara aman dan tenteram,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas berucap pada Forum Islam dan Tamadunnya di Intistut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam di Kuala Lumpur hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Rafizi pada Rabu lalu yang mahu Pakatan Harapan (PH) menetapkan tarikh kepada Dr Mahathir untuk melepaskan jawatan jika perdana menteri itu enggan berbuat demikian.

Rafizi yang dikenali sebagai sekutu Anwar, berkata di sebuah forum di Singapura bahawa Anwar sepatutnya mengambil alih tugas perdana menteri daripada Dr Mahathir apabila dibebaskan dari penjara.

Namun katanya tiada tarikh ditetapkan bagi peralihan kuasa itu.

Dr Mahathir, 94, masih belum menyatakan waktu beliau akan memberi laluan kepada penggantinya walaupun sebelum ini beliau berulang kali memberi bayangan bahawa akan mentadbir dalam tempoh dua tahun.

“Jika (Dr Mahathir) melepaskan jawatan secara rela, peralihan ini akan berjalan lancar,“kata Rafizi.

Beliau berkata Dr Mahathir masih penting untuk PH bagi mengekalkan kuasa pada pilihan raya akan datang.

Tanpa tarikh yang tepat, spekulasi mula timbul dalam kalangan parti komponen PH sehingga ada yang menyaksikan pergeseran sesama sendiri berhubung isu peralihan kuasa itu.

November lalu, Dr Mahathir berkata Anwar bersetuju bahawa peralihan kuasa perlu dilakukan tanpa mencetuskan ketegangan di negara ini.

Anwar pula menyatakan sokongan kepada kerajaan Dr Mahathir untuk melakukan pembaharuan terlebih dahulu sebelum menyerahkan kuasa.  – 11 Januari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen