IS hukum mati 741 orang awam semasa pertempuran di Mosul, lapor PBB


Seramai 2,521 orang awam terbunuh, kebanyakannya oleh serangan IS, semasa pertempuran di antara IS dan Angkatan Keselamatan Iraq yang berakhir pada Julai. – Gambar fail EPA, 2 November, 2017.

KUMPULAN militan Islamic State (IS) menghukum mati 741 orang awam semasa pertempuran menawan bandar Mosul di Iraq, kata Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) hari ini, menuduh jihadis melakukan “jenayah antarabangsa” sepanjang kempen ketenteraan sembilan bulan.

Seramai 2,521 orang awam terbunuh, kebanyakannya oleh serangan IS, semasa pertempuran di antara IS dan Angkatan Keselamatan Iraq (ISF) yang disokong pihak antarabangsa yang berakhir pada Julai, kata pejabat hak asasi PBB dalam satu laporan.

“Mereka yang bertanggungjawab mesti menjawab bagi jenayah kejam mereka,” kata Pesuruhjaya Tinggi PBB untuk Hak Asasi Manusia, Zeid Ra’ad Al Hussein dalam satu kenyataan.

Mosul, bandar kedua di Iraq, ditawan IS pada 2014 dan menjadi ibu kota kumpulan itu.

Berikutan kekalahan IS di bandar, pejabat hak asasi mengatakan ia telah mengumpulkan dokumen keterangan saksi “penculikan besar-besaran orang awam, penggunaan ribuan perisai manusia, penghancuran kediaman penduduk dengan sengaja, dan sasaran rambang terhadap penduduk awam yang cuba melarikan diri dari bandar”.

Lebih 800,000 orang berpindah dan hilang tempat tinggal disebabkan pertempuran, kata laporan itu.

Pejabat hak asasi juga menyeru penyiasatan mengenai pelanggaran yang dilakukan oleh ISF dan sekutu mereka, termasuk kumpulan militia.

Laporan itu “mencatatkan 461 kematian orang awam akibat serangan udara semasa fasa paling intensif serangan yang dipimpin oleh ISF sejak 19 Februari,” kata PBB dalam satu kenyataan, menyedari adalah mustahil memastikan pihak bertanggungjawab bagi serangan “terhadap hampir semua kes “.

Pejabat hak asasi mendesak kerajaan Iraq menjemput Mahkamah Jenayah Antarabangsa untuk menyiasat keadaan negara itu “sebagai langkah segera”.

“Dengan mendakwa mereka yang bertanggungjawab atas ‘jenayah antarabangsa’ di Mosul, pihak berkuasa Iraq akan menghantar mesej kepada rakyat Iraq yang telah menderita, tidak kira bila atau di mana, keadilan itu akhirnya diberi,” katanya. – AFP, 2 November, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen