RAMAI warga asing gagal mendapat pengampunan untuk dihantar pulang disebabkan masalah birokrasi dan sikap degil majikan, kata satu NGO hak asasi tenaga kerja asing.
Selain itu, pekerja asing ini menanggung hutang tinggi kepada ejen yang menguruskan kemasukan mereka ke negara ini, menurut NGO Inisiatif Utara-Selatan.
Perkara inilah yang membantutkan usaha mendaftar pekerja asing ini dan menghantar mereka pulang melalui program Back for Good (B4G), kata Pengarah Inisiatif Utara-Selatan Adrian Pereira.
“Kerajaan memang sudah memberikan masa yang cukup buat mereka tetapi pekerja warga asing ini tidak semuanya dilepaskan pulang oleh majikan mereka.
“Ada yang hanya dibenarkan oleh majikan untuk mendaftar pada saat akhir,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Disebabkan hutang yang tinggi itu ramai pekerja asing memilih untuk tidak pulang ke negara asal walaupun mendapat peluang melalui program pengampunan B4G.
“(Pekerja ini) tidak mempunyai pilihan selain terus bekerja di Malaysia walaupun tanpa dokumen dan sanggup berdepan dengan risiko daripada pihak penguatkuasaan Malaysia,” tambahnya.
Pereira berkata kerajaan perlu melihat semula istilah pekerja asing “haram” kerana label tersebut menghina individu terbabit.
Jelasnya, banyak kes warga asing tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah itu di luar kawalan pekerja tersebut.
Menurut Jabatan Imigresen, seramai 180,000 migran tanpa dokumen dihantar pulang ke negara asal melalui program yang dilaksanakan antara 1 Ogos hingga 31 Disember, 2018.
Namun selepas beberapa program pengampunan dan pengambilan bekerja dijalankan kerajaan, jumlah pekerja asing haram itu tidak berkurangan, kata Pereira.
Beliau berkata Kementerian Sumber Manusia sering memberi alasan hak pekerja asing itu tidak dapat dilindungi kerana kurang pemeriksa buruh.
Namun alasan ini tidak dapat dipercayai kerana pekerja tersebut masih tidak dapat dilindungi walaupun selepas pemeriksaan dijalankan, kata Pereira.
Oleh itu, beliau mempersoalkan sekiranya kerajaan benar-benar ikhlas dalam melakukan reformasi ke atas undang-undang buruh, terutama dalam isu di peringkat bekalan.
Kerajaan juga masih gagal menangani isu pemerdagangan manusia, katanya yang menyebut Laporan Tahunan Jabatan Negara Amerika Syarikat Mengenai Pemerdagangan Orang.
Laporan dikeluarkan Amerika Syarikat menyenaraikan Malaysia dalam Peringkat Kedua untuk dua tahun berturut-turut.
Kategori itu bagi negara yang masih belum mencapai piawai minimum Akta Perlindungan Mangsa Pemerdagangan Orang. – 11 Januari, 2020.
Komen