PASANGAN suami isteri dan bayi mereka berusia empat bulan maut dalam pelanggaran melibatkan tiga kenderaan di Km145, Jalan Kuala Lumpur-Kuantan di Temerloh hari ini.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Pahang Supt Kamarulzaman Jusoh berkata dalam kejadian pada 5 petang itu, Mohammad Adnan Anuar, isterinya Siti Tul Assiqin Abdul Wahab, kedua-duanya berusia 23 tahun, dan bayi mereka Nur Alissa Insyirah maut selepas tersepit dalam kereta mereka.
“Kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta dipandu Mohammad Anuar dari arah Kuantan terbabas ke laluan bertentangan semasa melalui selekoh lalu melanggar lori tangki muatan minyak sawit yang berada di lorong tersebut.
“Lori tangki yang cuba untuk mengelak kemudiannya melanggar sebuah lori lima tan yang berada di lorong kiri menyebabkan kedua-dua kenderaan tersebut terperosok ke bahu jalan,” katanya semasa dihubungi di Kuantan, hari ini.
Kamarulzaman berkata pemandu lori lima tan yang berusia 27 tahun cedera ringan pada tangan dan kaki manakala pemandu lori tangki yang berumur 55 tahun tidak cedera.
“Mangsa yang tersepit dapat dikeluarkan kira-kira sejam kemudian dan jenazah semua mangsa dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah di Temerloh untuk bedah siasat,” katanya dan menurutnya keluarga itu berasal daripada Lanchang.
Sementara itu di Sibu, seorang wanita maut manakala dua penumpang, iaitu adik dan anak wanita itu cedera parah selepas kereta yang dipandunya hilang kawalan dan melanggar sebatang pokok di Jalan Salim-Stabau.
Ketua Polis Daerah Sibu ACP Stanley Jonathan Ringgit berkata Cristina Umie Jalin, 25, daripada Rumah Tedong Ulu Tuah, Kanowit disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah.
Katanya adik wanita itu Gelim Jalin, 20 dan anak lelaki Cristina, Chester Daniele, setahun sembilan bulan yang cedera parah dihantar ke Hospital Sibu untuk rawatan.
“Dalam kejadian 11.15 pagi itu mangsa yang memandu kereta Perodua Kelisa dari arah Durin ke Jalan Farley telah hilang kawalan lalu melanggar pokok di sebelah kiri bahu jalan kemudian masuk ke dalam parit dan terbalik,” katanya kepada pemberita di Sibu hari ini.
Sementara itu Ketua Bomba dan Penyelamat Zon Sibu Wan Kamarudin Wan Ahmad dalam satu kenyataan berkata pihaknya mengambil masa kira-kira 10 minit untuk mengeluarkan wanita itu yang tersepit di tempat duduk pemandu. – Bernama, 10 Januari, 2020.
Komen