Kumpulan pendidikan Cina harap Dr Mahathir selesai isu pendidikan 


Angie Tan

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad kini memangku jawatan menteri pendidikan selepas peletakan jawatan Dr Maszlee Malik.– Gambar fail The Malaysian Insight, 10 Januari, 2020.

KUMPULAN masyarakat sivil Cina berharap Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad akan mengembalikan kepercayaan rakyat terhadap sistem pendidikan dengan menyelesaikan masalah yang timbul di bawah kerajaan sekarang.

Menurut mereka, kepercayaan terhadap kerajaan Pakatan Harapan telah terhakis ketika Maszlee Malik memegang jawatan menteri pendidikan susulan kontroversi pembelajaran Jawi.

Penasihat Persatuan Jaringan Ibubapa Pencinta Pendidikan Bahasa Zhong Hua (Jia Zong), Edward Neoh Chuan Tat berkata persatuan itu percaya sebagai pemangku menteri pendidikan Dr Mahathir mampu merapatkan jurang antara sekolah vernakular dan Kementerian Pendidikan.

“Kami percaya perdana menteri ada sebab tertentu untuk meminta Maszlee meletakkan jawatan dan mengambil alih,” katanya.

Beliau berkata, terlalu banyak masalah yang timbul di sektor pendidikan sejak kebelakangan ini yang mencetuskan ketegangan, dan menjadikan isu hiasan Tahun Baharu Cina di sebuah sekolah di Puchong sebagai kes terbaharu.

Edward menegaskan bahawa perlunya seorang menteri yang tegas untuk memegang portfolio berkenaan.

Beliau juga berharap Dr Mahathir akan selesaikan perkara itu termasuk hak untuk lembaga pentadbiran sekolah untuk putuskan sama ada modul pelajaran Jawi boleh diajar atau sebaliknya.

Menurutnya, terdapat juga kebimbangan bahawa kemungkinan Dr Mahathir akan laksanakan semula dasar lama termasuk pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris.

“Bagaimanapun, saya merasakan keadaan pendidikan di negara ini tidak bertambah baik sejak beberapa tahun lalu, dan ia telah menjadi lebih teruk dari masa ke masa. Kami benar-benar memerlukan menteri pendidikan yang kuat untuk menyelesaikan masalah ini.”

Tambahnya, perdana menteri mempunyai pengalaman luas dalam mentadbir kerajaan dan para pegawai akan lebih serius menjalankan tugas sekiranya beliau mentadbir kementerian itu.

Sementara itu, Pengerusi Majlis Bahasa Cina Wang Hong Chai turut mengingatkan Dr Mahathir untuk mengambil kira keperluan sekolah vernakular sebelum melaksanakan dasar baharu.

“Kita tahu perdana menteri sentiasa ada idea baharunya berhubung pembangunan pendidikan di negara kita, dan kebanyakannya menyebabkan masyarakat Cina tidak bersetuju sebelum ini.

“Jadi saya harap perdana menteri boleh bertemu dengan semua pihak berkepentingan sebelum membuat sebarang keputusan,” katanya.

Tambahnya, kementerian pendidikan merupakan portfolio yang rumit untuk diuruskan kerana ia melibatkan beberapa segmen dan dasarnya perlu sentiasa dikemas kini.

“Perdana menteri sendiri perlu terajui seluruh Kabinet dan perlu memastikan ia berjalan lancar. Tugas sedia adanya sudah berat, dan kini beliau juga memangku Kementerian Pendidikan, ia akan menjadi beban kepadanya. Bagaimanapun, nampaknya beliau sudah mempertimbangkan dengan teliti sebelum mengambil alih jawatan itu,” katanya.

Pengerusi Dong Jiao Zong Tan Tai Kim berharap Dr Mahathir akan berjumpa dengan pihak berkepentingan berhubung isu melibatkan sekolah vernakular.

Sebelum ini katanya, perdana menteri melaksanakan dasar tanpa banyak berbincang dengan mereka.

“Ia sesuatu yang kami bimbangkan,” katanya.

Ditanya sama ada beliau turut bimbang dengan pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC), katanya itu adalah komitmen Pakatan Harapan.

Katanya, Dong Jiao Zong akan mengadakan mesyuarat bagi membincangkan perkembangan itu tidak lama lagi.– 10 Januari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen