TIGA wanita dan seorang bayi perempuan maut dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Kilometer 448 Lebuhraya Utara Selatan dekat Sungai Buloh, sejurus selepas 12 tengah malam tadi.
Mereka yang maut dikenali sebagai Asiah Mat, 74, anaknya Ruzi Osman, 54, menantu Ruzi iaitu Ain Fazira Mohd Yazid, 25, dan anak Ain Fazira, Nur Tiara Arisha Mohamad Taslim, sembilan bulan.
Suami Ain Fazira, Mohamad Taslim Jamsari, 31, cedera dalam kejadian itu.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Supt Shafa’aton Abu Bakar memberitahu Bernama bahawa kemalangan melibatkan kereta Proton Satria dan Mitsubishi ASX dalam perjalanan ke utara.
Beliau berkata Proton Satria yang dinaiki kesemua mangsa dikatakan berhenti di atas jalan dipercayai akibat kerosakan sebelum kenderaan Mitsubishi itu, yang datang dari arah sama, tidak sempat mengelak lalu terlanggar belakang Proton Satria.
“Rempuhan menyebabkan Proton Satria yang dinaiki kesemua mangsa itu berpusing sehingga menyebabkan ada mangsa terpelanting keluar,” kata Shafa’aton.
Beliau berkata, Asiah dan Ain Fazira meninggal dunia di tempat kejadian manakala Ruzi dan bayi perempuan itu meninggal semasa menerima rawatan di Hospital Sungai Buloh.
Pemandu Mitsubishi berkenaan, Zainordin Ahmad, 36, turut cedera dalam kejadian itu.
Mangsa yang maut dan cedera dibawa ke hospital berkenaan.
“Siasatan diteruskan bagi mengenal pasti punca sebenar kemalangan dan mengesan saksi,” katanya sambil menambah kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sementara itu, anak kepada Allahyarham Asiah, Zakaria Osman, 60-an, berkata dia hanya menerima berita mengenai kemalangan berkenaan daripada pihak Hospital Sungai Buloh pada kira-kira 2 pagi tadi.
“Sewaktu menerima panggilan itu, saya berada di rumah di Kampung Tebuk Haji Wahab, Bagan Datuk, Perak dan terus bergegas bersama isteri ke hospital untuk melihat keadaan emak saya dan lain-lain.
“Kesemua mereka dalam perjalanan menuju ke Sepang bagi menziarahi ahli keluarga selain membawa adik saya (Ruzi) menjalani pemeriksaan kesihatan di hospital,” katanya ketika ditemui pemberita di Jabatan Forensik, Hospital Sungai Buloh.
Jenazah mereka dijangka dikebumikan di tanah perkuburan Islam di Sungai Nibong, Sekinchan, hari ini. – Bernama, 10 Januari, 2020.
Komen