POLIS menjalankan siasatan dalaman bagi mengenal pasti pegawai yang didakwa menasihatkan pihak sekolah di Puchong untuk menurunkan perhiasan sambutan Tahun Baharu Cina.
Ketua Polis Daerah Serdang, ACP Ismadi Borhan berkata, setakat ini pihaknya belum mengenal pasti pegawai terbabit.
“Kita sedang menjalankan siasatan dalaman berhubung perkara itu dan jika benar seperti yang didakwa, pegawai terbabit akan diambil tindakan tatatertib,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Serdang, hari ini.
Isu perhiasan sambutan Tahun Baharu Cina di SM Pusat Bandar Puchong 1 di Selangor itu timbul selepas sebuah parti politik Melayu mendakwa ia tidak berperlembagaan dan cubaan untuk menyebarkan agama kepada pelajar.
Susulan itu, seorang pegawai polis didakwa menasihatkan pihak sekolah agar menurunkan perhiasan berkenaan bagi mengelakkan kontroversi.
Semalam, jemaah menteri memihak kepada sekolah berkenaan, dan menggesa pengkritik berkenaan agar tidak keliru antara agama dan budaya.
Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan beberapa menteri turut mengadakan lawatan ke sekolah berkenaan sebagai tanda sokongan mereka.
Sementara itu, Ismadi juga berkata polis menerima dua laporan berhubung isu perhiasan di sekolah berkenaan dan kertas siasatan telah dibuka.
“Hasil dua laporan polis itu, kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 505C Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia Malaysia 1998,” katanya.
Tambahnya, pihaknya turut memanggil Naib Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA) Mohd Khairul Azam Abdul Aziz selain pihak sekolah dan beberapa orang individu daripada Persatuan Ibu Bapa dan Guru sekolah berkenaan untuk diambil keterangan.
Beliau juga menjelaskan laporan polis itu dibuat orang awam dan bukannya pihak sekolah. – 9 Januari, 2020.
Komen