Pemansuhan elaun kritikal tangguh untuk kajian semula, kata JPA


Menurut Jabatan Perkhidmatan Awam, kajian akan dibuat oleh pihak yang berkaitan sebelum diputuskan Jemaah Menteri.– 9 Januari, 2020.

PEMANSUHAN bayaran insentif perkhidmatan kritikal (BIPK), yang sepatutnya berkuat kuasa mulai 1 Januari lalu, ditangguhkan untuk kajian semula, kata Jabatan Perkhidmatan Awam.

JPA dalam satu kenyataan berkata kajian akan dibuat oleh pihak yang berkaitan dan selepas itu diputuskan oleh Jemaah Menteri.

“Sehubungan dengan itu, pelaksanaan pemansuhan BIPK kepada pegawai lantikan baharu melibatkan 33 skim perkhidmatan seperti dinyatakan dalam Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 10 Tahun 2019 adalah ditangguhkan,” kata kenyataan itu.

Pengumuman JPA itu menyusul mesyuarat Jemaah Menteri semalam, yang pertama bagi tahun ini, yang antara lain membincangkan isu pemansuhan tersebut.

Pemansuhan elaun kritikal menjadi perhatian selepas media melaporkan pekeliling JPA mengenainya pada minggu akhir Disember lalu.

Isu itu kemudian hangat selepas Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengkritiknya secara terbuka di Twitter.

Beliau menyifatkan pemansuhan itu tidak wajar dan menjejaskan banyak anak muda dalam sektor kerajaan.

Katanya, yang sepatutnya dipotong ialah elaun ahli politik dan menteri, dan bukan elaun kritikal doktor, ahli farmasi serta jururawat muda.

Sebagai tanda bantahan, Syed Saddiq membuat pengumuman memendekkan cuti tahunan serta memulangkan elaun percutian sebagai menteri kabinet.

Pemansuhan itu turut dibantah oleh beberapa persatuan berkaitan sektor kesihatan.

Sehari selepas menyuarakan bantahan terbuka melalui video di media sosial, Syed Saddiq mengumumkan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad setuju isu tersebut dibincang semula dalam mesyuarat kabinet pertama tahun ini.

JPA dalam penjelasannya sebelum berkata BIPK yang mula diperkenalkan di bawah Sistem Saraan Baru (SSB) pada 1992 bukanlah skim kekal tetapi boleh ditarik balik, bergantung kepada keadaan dan keperluan.

Pemansuhannya juga adalah hasil kajian terbaharu pada 2019, selepas tiga kajian sebelum ini pada 1997, 2001 dan 2007.
Menurut JPA, hasil kajian menunjukkan semua 33 skim perkhidmatan yang diperuntukkan BIPK tidak lagi kritikal.

JPA juga ketika itu menjelaskan elaun kritikal bagi penjawat awam sedia ada tidak terjejas sebaliknya hanya tidak diberikan lagi untuk pengambilan baru mulai tahun ini. – 9 Januari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen