Laksana segera sekolah satu aliran


TATKALA isu peletakan jawatan Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik dan calon penggantinya terus hangat diperdebatkan oleh khalayak, elok kiranya kita juga memberi penumpuan sepenuhnya kepada isu pendidikan dan masa depan anak-anak secara keseluruhannya. 

Penulis percaya setiap kejadian ada hikmahnya, dan antara hikmah insiden peletakan jawatan ini adalah ia membuka ruang seluas-luasnya kepada kerajaan untuk bertindak dengan lebih tegas dan berani untuk merombak keseluruhan sistem pendidikan negara bagi melaksanakan sekolah satu aliran yang boleh diangkat sebagai tunjang perpaduan nasional.

Hakikatnya, mutakhir ini terlalu banyak isu berkaitan pendidikan dan juga perpaduan mula menganggu keharmonian dalam kalangan rakyat.

Pelbagai tuntutan yang membelakangkan Perlembagaan Persekutuan, Rukun Negara dan prinsip kontrak sosial mula kedengaran. 

Ini semakin mencemaskan rakyat kerana ia menjejaskan perhubungan antara kaum dan jambatan perpaduan yang dibina selama ini. 

Justeru, tidak salah untuk pihak kerajaan merintis jalan ke arah melaksanakan sekolah satu aliran untuk memperkukuhkan jambatan perpaduan dan membina jati diri bangsa Malaysia. 

Semua pihak perlu berlapang dada dan melihat cadangan ini dalam perspektif yang lebih besar dan demi masa depan negara.

Janganlah kita dipesongkan dengan pemikiran sempit berlandaskan politik perkauman yang jelas tidak sihat untuk masyarakat majmuk di negara ini.

Cadangan pelaksanaan sekolah satu aliran bukanlah cadangan baru sebaliknya isu ini sentiasa dibangkitkan oleh pelbagai pihak yang sayangkan negara dan keharmonian kaum.

Ia sentiasa diperdebatkan dan sering menjadi menjadi topik perbualan yang hangat dalam kalangan anggota masyarakat. 

Walaupun sering dilabel sebagai isu sensitif namun kita perlu berpijak di bumi yang nyata. Hal ini kerana soal perpaduan nasional masih membimbangkan dan diperdebatkan secara meluas.

Justeru, perbincangan ke arah mewujudkan sekolah satu aliran tidak boleh lagi dianggap tabu atau terlalu sensitif.

Ironinya masih belum terlewat untuk kerajaan “campur tangan” melalui pelaksanaan sekolah satu aliran dengan menggunakan Bahasa Kebangsaan bagi memecahkan sentimen perkauman yang semakin menebal khususnya dalam kalangan generasi muda. 

Sudah semestinya sistem persekolahan satu aliran hanya boleh dilaksanakan jika adanya keberanian politik dengan mengambil kira soal integrasi nasional dan ia memerlukan perbincangan membabitkan wakil pemimpin semua kaum sebelum dapat dilaksanakan. 

Hakikatnya semua pihak cukup sedar dan mengakui betapa inilah masa yang terbaik untuk kita mengorak langkah secara serius bagi melaksanakan sekolah satu aliran demi masa depan generasi yang akan datang dan negara secara keseluruhannya. 

Tetapi sekali lagi persoalan klisenya di sini ialah adakah kita mempunyai keberanian politik yang dituntut dan diperlukan itu?

Ternyata masih ada kumpulan yang dilihat terlalu “kebal”, sukar digugat dan tidak mahu berkompromi atas alasan kononnya memperjuangkan hak dan warisan kaum masing-masing. 

Ternyata kelompok ini lebih mementingkan kepentingan kaum masing-masing dan sekali lagi gagal melihat isu dan masalah perkauman yang tercetus mutakhir ini dalam konteks yang lebih luas dan terbuka.

Bagi mereka apa yang penting ialah menonjol sebagai hero di mata kaum masing-masing dengan cuba menegakkan benang yang basah.

Kenapa kita masih sukar untuk menerima kenyataan dan hakikat bahawa selepas 63 tahun merdeka tahap perpaduan rakyat sebenarnya masih tidak begitu baik.

Perpaduan yang ada pada masa sekarang lebih berbentuk kosmetik dan permukaan sahaja. Ia jelas tidak kuat dan utuh seperti yang kita harapkan.

Sedikit saja provokasi sudah cukup untuk mencetuskan konflik dan pertelingkahan kaum secara serius. 

Buktinya semakin hari semakin jelas dan bertambah banyak namun kita masih belum mampu bertindak dengan berani untuk mengatasi mahupun menangani masalah perpaduan kaum ini secara serius dan dari akar umbi.

Rata-rata masyarakat mengakui masalah perpaduan kaum yang longgar ini berpunca daripada kegagalan kita untuk menyatukan anak-anak kita dari peringkat sekolah rendah lagi. 

Pengasingan dan pemisahan yang berlaku di peringkat sekolah rendah selama enam tahun memberikan kesan yang cukup mendalam kepada kehidupan anak-anak kita.

Mereka hanya bergaul dengan kelompok masing-masing untuk satu tempoh masa yang cukup panjang. 

Kita tidak boleh salahkan mereka apabila tiba-tiba kita berharap mereka akan bergaul mesra dengan kelompok lain ketika memasuki alam sekolah menengah.

Bak kata pepatah, melentur buluh biarlah dari rebungnya. Maka bagi penulis segalanya sudah terlewat pada ketika itu. Kesilapan ini terus berlaku sekian lama dan kita masih belum mampu membetulkannya.

Percayalah hanya sekolah mampu menjadi platform dan wadah terbaik untuk memupuk perpaduan nasional atas semangat “Saya Bangsa Malaysia”.

Anak-anak kita yang bakal mewarisi negara ini perlu dididik dan dibentuk dari sekarang supaya mereka benar-benar dapat menghayati konsep dan erti sebenar perpaduan di antara pelbagai kaum yang terbina sekian lama. 

Sekolah satu aliran mampu merealisasikan impian terbabit dengan membantu membentuk wajah bangsa Malaysia yang kita impikan selama ini. 

Maka kita tunggu apa lagi?

Penulis mencabar semua lapisan masyarakat dari pelbagai latar belakang kaum sekurang-kurangnya untuk kali ini mari kita lupakan sejenak soal kepentingan etnik masing-masing. 

Percayalah identiti kaum anda tidak akan lenyap begitu saja hanya kerana sekolah satu aliran dan menggunakan Bahasa kebangsaan.

Saya percaya dalam sistem sekolah satu aliran itu sendiri kita boleh mewujudkan segala peluang yang diperlukan seperti meneruskan mata pelajaran ibunda masing-masing. 

Malah dalam Perlembagaan juga sudah jelas betapa setiap kaum boleh mengamalkan agama dan budaya sendiri tanpa sebarang halangan dan perkara ini sememangnya sedang berlaku di rumah dan juga di majlis keramaian setiap kaum masing-masing.

Maka tiada alasan kenapa kita masih tidak boleh bertoleransi dalam sistem pendidikan negara demi masa depan negara bangsa.

Apa yang penting sekarang ialah semua pemimpin masyarakat yang mewakili kaum masing-masing perlu memasang tekad dan iltizam untuk mencetuskan fenomena keberanian politik yang kita cari selama ini bagi melakukan perubahan dan transformasi yang drastik. 

Pemimpin masyarakat ini perlu memainkan peranan untuk menerangkan kepada kelompok kaum sendiri tentang kebaikan dan kelebihan sekolah satu aliran serta betapa ianya tidak akan sama sekali melenyapkan identiti kaum masing-masing. 

Agenda dan matlamat utama dalam soal ini hanyalah menjurus kepada kepentingan nasional dan perpaduan kaum demi masa depan negara ini. 

Sampai bila kita mahu hidup dalam suasana dan persekitaran yang kurang kondusif dan kukuh seperti ini. Apakah kita mahu terus membiarkan anak-anak kita bercakaran sesama sendiri sampai bila-bila?

Hakikatnya ini adalah masa yang paling sesuai untuk kita bermuhasabah diri dan seterusnya membetulkan segala kepincangan yang ada.

Kita mampu membetulkannya dengan segera andai kita memiliki keberanian dan iltizam politik yang kuat. 

Kepada semua pemimpin masyarakat, marilah kita dengan lapang dada duduk berbincang dan demi membentuk perpaduan nasional yang utuh, bersetuju mewujudkan sekolah satu aliran. 

Pedulikan golongan yang sering menjadi pengacau dan tidak bersetuju dengan cadangan seperti ini. Selagi mana ia tidak menafikan hak mana-mana kaum seperti yang termaktub dalam Perlembagaan teruskan saja. Majoriti rakyat negara ini pasti menyokongnya. – 9 Januari, 2020.

* Noor Mohamad Shakil Hameed adalah timbalan pengarah Pejabat Strategi Korporat dan Komunikasi Universiti Putra Malaysia.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen